Nikmat ABC Cendol Ada Di Sini
Ini 6 Lokasi ABC Cendol Yang Padu Untuk Anda Layan ‘Cool’ Di Kuching. Sebut sahaja ABC Cendol, pasti anda teringat akan kemanisan dan kenikmatan rasa dinginnya membelai tekak anda. Apatah lagi diminum bersama hidangan ringkas seperti cucur dan rojak. Bagi anda yang tengah bosan dan mencari port ABC Cendol mana yang best di Kuching, ini pilihan lokasi yang telah kami senaraikan sebagai panduan anda.
1. Hometown Ice Kacang, Satok
Pada asalnya, tapak kedai ini merupakan salah satu cawangan kedai ABC popular di Kuching iaitu Swee Kang. Namun, kini ia dikenali dengan nama Hometown Ice Kacang. Ia berada bertentangan dengan kedai cucur udang RL di Satok. Jika anda berkunjung ke sini, jangan lupa untuk memesan menu popular mereka iaitu ABC Gula Apong Tradisional. Dibuka setiap hari pada jam 11 pagi hingga 6 petang, anda juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan tempatan seperti char kuey teow, cucur campur dan mi belacan. Pendek kata, kedai ini merupakan port penyejuk tekak paling dekat untuk anda yang berada di tengah Bandaraya Kuching.


Lokasi : Jalan Satok, Lorong 3, 93400 Kuching, Sarawak (Belakang Mita Cake House, Satok)
Facebook : Hometown Ice Kacang
2. Swee Kang Ice Kacang
Siapa tak kenal Swee Kang? Sebut sahaja kedai cendol ini, pasti ramai yang menelan air liur mengenangkan nikmat cendolnya yang manis dan kaya dengan buah-buahan. Menu yang terkenal di sini ialah Cendol ABC Special dan air White Lady. Selain daripada menu cendol, anda juga patut mencuba mi belacan, cucur campur dan rojak sotong. Kami cadangkan anda untuk pergi ke sini sekitar jam 3 hingga 4 petang kerana anda mungkin akan menunggu giliran meja dan kerusi sekiranya sampai pada waktu pulang kerja. Ramainya tak boleh bawa bincang!




Lokasi : Jalan Kulas – Haji Taha Interchange, Kampung Bandarshah, 93400 Kuching, Sarawak
Facebook : Swee Kang Ais Kacang
3. Snack Lab Cafe
Menjejak ke kawasan luar pusat Bandaraya Kuching, anda boleh lah mencuba Snack Lab Cafe. Cafe ini terletak di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya. Ia menawarkan menu ABC dan Cendol Melaka yang berharga bawah RM 5 sahaja. Selain itu, kafe ini juga mempunyai pilihan pencuci mulut citarasa Malaysia yang pelbagai seperti Pulut Jolly Bean, Special Coconut Jelly, Five Flavours, Pulut Hitam, Sago Longan, White Island dan macam-macam lagi. Yang penting, portion nya besar dan berbaloi dengan harga.



Lokasi : 14883-14884-11, Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, 93350 Kuching, Sarawak
Facebook : Snack Lab Cafe
4. Tay Soo Kiat Cold Drink Stall
Penduduk jati Kuching pasti mengenali kedai minuman yang legend ini. Tay Soo Kiat Cold Drink Stall ini telah menyajikan pelbagai jenis minuman serta pencuci mulut seperti ABC dan cendol sejak tahun 1968 lagi. Masih beroperasi di Open Air Market Kuching @ Tower Market (berhadapan Electra House), anda boleh mendapatkan dos ABC cendol yang klasik dan asli di sini.
Selain daripada rasa cendol nya yang tidak dapat dilupakan, satu lagi keunikan gerai ini ialah papan tanda gerainya yang mempunyai 3 jenis tulisan iaitu tulisan Jawi, Cina dan Rumi Inggeris. Menurut laman FB No.20 Tower Market (二十号露天巴刹)Tay Soo Kiat Cold Drink Stall ~ Since 1968 ini, pemiliknya pernah meminta seorang Haji daripada Masjid Bandaraya Kuching untuk menterjemah nama gerai ini dalam tulisan Jawi. Setelah membuat beberapa kali permintaan daripada Haji tersebut, akhirnya beliau bersetuju dengan mengenakan bayaran sebanyak RM 90 yang dikira besar pada ketika itu. Namun demikian, terjemahan Jawi ini diubah semula oleh seorang Haji yang berasal dari Arab dan tulisan tersebut kekal hingga ke hari ini.



Lokasi : Open Air Market, Jalan Power, 93000 Kuching, Sarawak (berhadapan Electra House)
Facebook : No.20 Tower Market (二十号露天巴刹)Tay Soo Kiat Cold Drink Stall ~ Since 1968
5. Ah Yong ABC Ais Kantong
Gerai ABC yang serba sederhana ini pula tidak kurang hebatnya. Walau pun berada di tepi jalan, gerai kecil Ah Yong ABC Ais Kantong ini boleh dikatakan sebagai salah sebuah gerai ABC yang sangat legend di Kuching. Menu signature nya ialah ais kantong iaitu ais kepal yang dituang dengan dua jenis sirap iaitu sirap ros dan sirap sarsi. ABC nya pula boleh didapati sama ada menggunakan susu sejat atau santan. Untuk ABC yang lebih ummph, pilihan kami ialah ABC santan.
Mula beroperasi pada tahun 80-an, ABC dan ais kantong yang dijual di sini masih lagi menggunakan kaedah sagat ais secara manual. Jika anda berhasrat untuk mencuba ABC dan ais kantong di sini, kami cadangkan supaya anda take away atau makan sambil bersiar-siar di Waterfront atau Carpenter Street kerana tempat duduknya terhad. Kebiasaannya, kerusi dan meja yang ada digunakan oleh pelanggan yang menunggu sementara pesanan dibuat.





Lokasi : Sideway, Wayang St, 93000 Kuching, Sarawak
Facebook : Ah Yong Abc Ice Kantong
6. Cendol MAMI
Jika anda merupakan peminat cendol pulut, jangan lupa untuk singgah ke Cendol MAMI yang terletak tidak jauh dari Kubah Ria, Satok. Cendol pulut yang dihidangkan di sini sememangnya popular dalam kalangan warga Kuching dan juga pelancong terutamanya dari Semenanjung Malaysia. Bukan itu sahaja, menu yang paling popular di sini iaitu cendol pulut durian boleh didapati termasuk pada luar musim durian. Kedai ini juga sesuai untuk dijadikan tempat lepak dan santai kerana ia berada di dalam ruang yang agak tertutup. Inginkan semangkuk cendol yang meriah? Cendol MAMI lah tempatnya!




Lokasi : 1, Jalan Matang, Taman Melati 2, 93050 Kuching, Sarawak
Facebook : Cendol MAMI
Nikmati dos-dos manis anda di kedai ABC cendol pilihan anda. Jangan dibiar hati mengidam, takut nanti terkenang-kenang. Okay?
Selamat men’cendol‘!