Aktiviti memenggal kepala oleh masyarakat Iban ini dipanggil Ngayau.
Muat Naik Gambar Bersama Tengkorak, Rupanya Kepala Askar Jepun Yang Dipenggal Orang Iban. Suatu ketika dahulu, orang Iban yang tinggal di Sarawak dan sebahagian kawasan di Kalimantan, Indonesia sememangnya mengamalkan aktiviti memenggal kepala atau disebut sebagai Ngayau. Namun begitu, aktiviti ini tidaklah dilakukan sesuka hati melainkan orang yang dipenggal itu adalah musuh mereka.
Seorang pengguna Facebook, Michael Palmieri telah memuat naik sekeping gambar yang memaparkan dirinya bergambar bersama beberapa buah tengkorak yang kelihatan digantung dalam satu kelompok. Menurut Michael, gambar tersebut diambil ketika beliau giat menjelajah ke Sarawak sekitar tahun 70 dan 80-an.

Pada waktu itu, beliau telah banyak berkunjung ke rumah-rumah panjang di Sarawak. Hampir kesemuanya mempunyai tengkorak yang digantung di siling rumah. Jelas Michael lagi, tengkorak-tengkorak ini digantung ibarat trofi dan medal di rumah panjang Iban. Michael yang tertanya-tanya tentang tengkorak itu kemudiannya meminta penjelasan kepada kaum Iban di rumah panjang yang beliau lawati.
Tengkorak askar Jepun yang dipenggal sewaktu tidur
Rupa-rupanya, tengkorak yang tergantung di rumah tersebut adalah tengkorak askar Jepun! Menurut apa yang diceritakan oleh orang rumah panjang itu kepada Michael, semasa penjajahan Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, masyarakat Iban masih terkenal dengan adat Ngayau sehingga mereka diakui sebagai pahlawan yang licik dan senyap. Kelebihan kaum Iban ini digunakan oleh angkatan sekutu (Britain, Kesatuan Soviet dan Perancis) sebagai perang psikologi untuk menentang askar Jepun.
Dengan amalan Ngayau ini, pahlawan Iban pada zaman dahulu dengan beraninya akan menyelinap masuk ke kem askar Jepun dan memenggal kepala segelintir askar Jepun ini sewaktu mereka tidur. Ini menyebabkan komrad askar Jepun yang lain panik dan takut melihatkan rakan mereka yang tidak lagi berkepala sebaik sahaja mereka bangun dari tidur.

Gambar Michael bersama tengkorak orang Jepun ini mendapat 590 perkongsian dan 426 tanda suka.
Setelah masyarakat Iban memeluk agama Kristian, amalan ini semakin menghilang daripada komuniti. Namun, pada pertengahan tahun 1940-an, aktiviti Ngayau digalakkan oleh angkatan sekutu bagi memerangi pendudukan askar Jepun di Borneo. Bukan itu sahaja, kerajaan Indonesia pada tahun 1960-an turut menggalakkan aktiviti memenggal kepala terutamanya komuniti Cina dari kawasan Kalimantan Tengah yang disyaki menyokong ideologi komunis dari Tanah Besar China. Malah, ngayau dilaporkan masih dilakukan sekitar tahun 90-an menentang imigran Madura yang mencetuskan konflik dan perbalahan antara kaum.

Netizen kongsi cerita ahli keluarga bekas tentera yang pernah berjumpa puak pribumi Borneo
Susulan pengalamn yang diceritakan oleh Michael itu, netizen turut memberikan pendapat tentang kisah ahli keluarga mereka yang pernah ditugaskan melawan askar Jepun dan dijaga oleh puak peribumi di Pulau Borneo dengan begitu baik sekali.
Salah seorang netizen, Rahimo Gleason memberitahu di ruangan komen bahawa bapanya merupakan salah seorang askar payung terjun yang ditugaskan ke Borneo suatu ketika dahulu. Nasib tidak menyebelahi mereka apabila pasukannya mendarat di kem askar Jepun. Bapanya berjaya bertahan hidup dan diselamatkan oleh salah sebuah puak pribumi di Borneo.
Puak tidak bernama tersebut telah merawat bapanya dengan begitu baik sekali walaupun dalam keadaan bapanya dijangkiti penyakit malaria sehinggalah dia dibawa balik ke kem utama. Puak tersebut digambarkan sebagai sekumpulan individu yang berpakaian jarang, memakai hiasan kepala berdaun, rantai yang diperbuat daripada tulang dan berdiri di hadapan sebuah rumah yang kelihatan diperbuat daripada jerami.

“Saya suka orang Iban!” – Netizen Mat Salleh
Seorang lagi netizen Mat Salleh, Jilliana Gocher turut memberi respon positif tentang masyarakat Iban. Katanya, beliau sangat menyukai masyarakat Iban dan telah melihat tengkorak seperti itu di kediaman rumah panjang.
Walaupun kini kebanyakan rumah panjang telah dimodenkan mengikut peredaran zaman, tengkorak ini masih kekal diletakkan di kawasan perkumpulan rumah. Warisan mereka tidak terjejas, ujar Jilliana.

Contoh yang dimaksudkan oleh Jilliana barangkali seperti ini :

Untuk makluman anda, masyarakat Iban pada masa kini tidak lagi mengamalkan aktiviti Ngayau ini. Tradisi ini dikatakan telah sepakat untuk dimansuhkan oleh komuniti Dayak di Borneo pada sekitar tahun 1894 melalui sebuah perjanjian yang dinamakan sebagai Perjanjian Tumbang Anoi di Kuala Kapuas, Kalimantan Tengah. Masyarakat Dayak bersetuju adat ini dimansuhkan memandangkan ia telah menyebabkan persengketaan yang sangat besar dalam komuniti Dayak sendiri.