Jalan sekitar pusat bandar Kuching ditutup sempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka
Notis Penutupan Jalan Sekitar Kuching Sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching akan melaksanakan penutupan jalan dan pengalihan lalu lintas semasa perarakan, perhimpunan, dan raptai sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka pada 22 Julai ini.
Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, Ketua Polis Daerah Kuching, menyatakan bahawa perarakan dan perhimpunan ini akan diikuti oleh 60 kontinjen dan akan dihadiri oleh Yang Di-Pertua Negeri Sarawak.
Pihak polis akan melakukan penutupan jalan semasa raptai berlangsung, bermula pada 18 Julai 2023 hingga 20 Julai 2023, dari jam 6.30 pagi sehingga raptai selesai.
“Pada 22 Julai 2023, penutupan jalan akan bermula pada jam 5.30 pagi dan akan dibuka semula setelah program selesai sepenuhnya. Jalan-jalan yang akan ditutup termasuk persimpangan Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang, Jalan Gambier, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Wawasan, Lampu Isyarat RTM, Jalan Satok, Jalan Tun Abang Haji Openg ke Padang Merdeka, Lampu Isyarat SK St Mary, Jalan McDougall ke Padang Merdeka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai diingatkan untuk tidak meletakkan kenderaan di tepi jalan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Orang ramai yang ingin menghadiri dan menyaksikan perarakan ini dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan di tempat kenderaan seperti Taman Reservoir, Taman Budaya, Green Hill, Bangunan Saujana, Medan Kereta Top Spot, dan Dewan Suarah.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching melalui talian 082-259900 atau merujuk kepada papan notis pemberitahuan penutupan jalan yang telah dipasang di setiap lokasi jalan yang ditutup.