Seorang pahlawan legenda
Pahlawan Yang Dihormati Di Tambunan, Inilah Lagenda Bajau. Sekiranya anda mengunjungi Kampung Solibog di Tambunan, Sabah, anda mungkin akan mendengar tentang seorang pahlawan bernama Bajau.
Bajau dikatakan seorang pahlawan legenda, kuat dan gagah malah sentiasa membantu penduduk kampung semasa zamannya. Inilah lagenda dia, dan bagaimana dia menjadi salah seorang pahlawan terhebat di Sabah.

Seorang lelaki yang tinggi, sangaaattt tinggi
Bajau dikatakan seorang lelaki yang sangat tinggi. Isterinya pula, iaitu Pangkung, juga seorang wanita yang setaraf tinggi seperti suaminya. Jika tanya orang sekarang, tiada sesiapa tahu berapa tinggi suami isteri ini. Ringkas kata, Bajau ialah seorang lelaki yang mempunyai ketinggian luar biasa.

Terdapat sebuah batu di Kampung Solibog setinggi 2.5 meter dan selebar 0.6 meter. Ia dikatakan Bajau pernah mengelek batu tersebut.
Batu ini digelar ‘Batu Bajau’, dan ia difahamkan batu ini adalah petanda betapa kuatnya Bajau.
Bajau bukan sahaja orang yang memiliki kekuatan luar biasa, bahkan tapak kakinya begitu lebar sehingga ikan dapat mati di sungai jika Bajau menyeberangnya kerana mereka pasti dipijak olehnya. Oleh itu, ramai orang mengikuti Bajau dan mengumpulkan ikan itu kerana kaedah ini adalah kaedah paling senang untuk menangkap ikan!

Selain kekuatan luar biasanya, Bajau juga dikenali sebagai seorang yang rendah hati dan seorang yang peramah. Dia akan sentiasa mengunjungi penduduk kampung semata-mata hendak bertanya adakah mereka memerlukan pertolongan.
Pada suatu hari, Bajau pergi menemui rakannya yang tinggal jauh. Pada masa ini, seekor harimau telah masuk ke kampung Bajau dan mengganggu penduduk kampung itu. Harimau itu mengalami kecederaan dan sedang mencari cara mudah untuk mencari makanan. Ternakan penduduk kampung terutamanya kambing dan lembu tmenjadi sasaran harimau itu.

Cemas dengan keadaan kampung mereka, ketua kampung itu menghantar pesanan kepada Bajau, menyatakan bahawa ada seekor harimau menyerang mereka dan mereka berada dalam keadaan bahaya.
Sebaik sahaja Bajau menerima berita ini, dia bergegas kembali ke kampung. Harimau itu ditangkap olehnya dan Bajau membuang harimau itu ke seberang bukit, tidak dilihat lagi.
Kampung itu lalu menjadi damai, malah menjadi makmur sehingga kampung-kampung yang berjiran telah mendengar tentang kisah Bajau dan menjauhkan diri dari tempat itu – kecuali sebuah kampung.
Kampung berhampiran merancang serangan
Di seberang bukit, terdapat sebuah suku bernama Tasapang. Mereka pun penduduk kampung makmur tetapi cara mereka untuk mendapatkan kekayaan adalah menyerang kampung-kampung berdekatan dan merampas semua harta dan tanah mereka.
Setiap hari, ketua kampung akan menghantar pengikutnya untuk mengetahui tentang kampung-kampung yang kaya dan makmur. Jika terdapat berita bahawa kampung lain sedang menikmati kemakmuran, mereka akan menyerang tanpa sebarang amaran.
Pada suatu hari, seorang pengikut memberitahu ketua kampung itu bahawa sebuah kampung di seberang bukit menikmati kekayaan. Kampung yang dikatakan ialah Kampung Salibog, kampung didiami oleh Bajau.
Tanpa usul periksa siapa ‘penjaga’ kampung itu, ketua kampung tersebut memutuskan untuk menyerang Kampung Salibog dan mengarahkan pengikutnya untuk bersiap sedia.
Pengintipan bermula
Pada keesokan harinya, ketua kampung itu mengambil para pahlawan terbaiknya dan bergerak ke Kampung Salibog. Dia kemudian mengarahkan seorang pengikut untuk pergi ke kampung itu untuk mengintip keadaan Kampung Salibog dan melapor balik kepada mereka.

Lelaki itu pergi ke Kampung Salibog dan berpura-pura ramah dengan penduduk kampung itu. Di situ, dia mendapat tahu tentang Bajau dan kekuatan luar biasanya. Lelaki itu kemudian melaporkan berita ini kepada ketuanya.
“Ada kisah mengenai seorang lelaki hebat ini. Dia dikatakan sangat tinggi dan mempunyai kekuatan seratus orang!” kata lelaki itu.
Ketua itu lalu berjawab,
“Pahlawan kita pun kuat dan berkuasa juga. Kita ada anak sumpit berbisa. Kita akan menambah jumlah racun di anak sumpit kita. Pasti jumlah racun ini dapat membunuh lelaki itu.”
Setelah membuat persiapan, mereka terus menuju ke Kampung Salibog.
Kekuatan Bajau menakutkan musuh
Sementara itu, ketua Kampung Salibog mendapat tahu mengenai tentang seorang lelaki yang mencurigakan yang selalu bertanya. Berdasarkan pengalamannya, dia tahu ini adalah petanda kampung mereka akan diserang.
Dia memanggil Bajau dan mengumumkan perkara itu kepadanya.
“Kampung kita akan diserang. Kita mesti berhati-hati,” kata ketua kampung itu kepada Bajau.
Bajau menjawab,
“Jangan takut. Jangan memberitahu yang lain kerana mereka akan takut.”
Suku Tasapang tiba menyerang Kampung Salibog pada waktu malam. Apabila tiba ke kampung itu, mereka melihat Bajau. Mereka begitu ketakutan ketika melihat betapa tingginya Bajau, sehingga mereka tidak dapat bergerak kerana dipenuhi ketakutan.

Akibat ketakutan, mereka berlari dalam keadaan kebingungan dan panik. Kaum Tasapang akhirnya kalah dan terpaksa pulang ke kampung mereka. Namun, terdapat sebilangan pahlawan yang cuba membunuh Bajau dengan menyumpit anak sumpit beracun itu.
Walau bagaimanapun, usaha tersebut disia-siakan kerana anak sumpit terbabit tidak memberi kesan kepada Bajau, malah bagi Bajau, serangan sumpit itu umpama digigit nyamuk.
Tanpa pilihan lain, suku Tasapang melarikan diri kerana mereka tahu bahawa mereka tidak berpeluang mengalahkan lelaki raksasa itu.
Sejak itu, suku Tasapang berhenti menyerang Kampung Salibog.
Oleh itu, Batu Bajau dihormati oleh masyarakat. Setiap kali orang melalui batu itu, mereka akan berdiri di sana sebentar sebagai tanda menghormati Bajau. Bajau dikatakan hidup sehingga usia yang sangat tua dan sehingga kini dihormati oleh mereka yang mengetahui kisah tentang lelaki legenda ini.