Papan Tanda Kafe Ikhwan di Jalan Matang Diturunkan
Terpalit Dengan Kontroversi, Papan Tanda Kafe Ikhwan Di Kuching Diturunkan. Baru-baru ini, papan tanda Kafe Ikhwan di Jalan Matang, Kuching, diturunkan selepas menjadi topik hangat di media sosial selama empat hari. Perkara ini mula mendapat perhatian ramai apabila hantaran netizen di TikTok tular, menunjukkan papan tanda kafe tersebut sudah diturunkan.
Kafe ini adalah sebahagian daripada rangkaian perniagaan yang diuruskan oleh GISB Holdings Sdn Bhd. GISB turut mengendalikan pelbagai kafe, restoran, bakeri, dan perniagaan lain di seluruh Malaysia.

Tular banyak isu berkait dengan GISB
Isu tular yang membawa kepada penurunan papan tanda tersebut berkait rapat dengan kontroversi yang melibatkan GISB dan hubungannya dengan sejarah kumpulan Al-Arqam.
Lebih parah, GISB juga terpalit dengan kes polis berkaitan penyalahgunaan kanak-kanak dan amalan jenayah di rumah-rumah amal yang mereka kendalikan. Terdapat juga dakwaan bahawa kanak-kanak di rumah amal GISB diajar melakukan perbuatan sumbang, serta menjadi mangsa penderaan.
Pihak polis Malaysia telah membuka beberapa kertas siasatan untuk menyiasat dakwaan-dakwaan ini. Isu ini telah menjejaskan perniagaan di bawah GISB, termasuk Kafe Ikhwan, yang mengalami penurunan pelanggan tetap akibat daripada skandal yang tular.

