Kejayaan cemerlang pelajar Korea dalam SPM di Sabah
Pelajar Korea Pertama Raih 8A SPM Di Sabah Tular Di Media Sosial. Satu hantaran tular di media sosial baru-baru ini memaparkan kejayaan seorang pelajar Korea yang bersekolah di SRS Datuk Simon Fung, Kota Kinabalu, Sabah.
Beliau telah memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan mendapat 8A.

Menerusi perkongsiannya di aplikasi TikTok, pelajar tersebut menyatakan bahawa beliau adalah pelajar Korea pertama yang mencapai keputusan cemerlang dalam SPM. Walaupun sedikit kecewa kerana tidak mendapat 8A+, beliau tetap bersyukur kerana telah membuat yang terbaik.
“Walaupun tidak mendapat A+ semuanya, tetapi saya telah membuat yang terbaik, kehidupan perlu diteruskan, fokus untuk masuk Stanford,” ujarnya menerusi kapsyen di laman TikToknya.
Mahu menyambung pelajarannya di Universiti Stanford
Difahamkan bahawa pelajar itu berhasrat untuk menyambung pelajaran di Universiti Stanford. Namun, sebelum itu, beliau akan mendaftar untuk mengambil peringkat A Level terlebih dahulu di Universiti Taylor’s.
Menjengah ke ruangan komen pula, apabila ditanya oleh segelintir netizen tentang peperiksaan yang lebih susah antara Malaysia atau Korea, beliau menjawab bahawa semestinya peperiksaan di Korea lebih sukar kerana tahapnya seperti peperiksaan universiti, tidak seperti SPM yang hanya peringkat menengah.
