Pelajar tingakatan 5 menang kejohanan dunia dalam pertandingan biola di Amerika Syarikat
Pelajar Tingkatan 5 Dari Sibu, Juara Dunia Dalam Pertandingan Biola. Seorang pelajar dari SMK Bukit Assek telah mencipta sejarah dengan meraih pingat emas genre muzik klasik dalam World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat.
Bukan itu sahaja, Imran Azim Iskandar turut membawa pulang satu pingat perak bagi setiap kategori kontemporari dan asli, bahkan pingat gangsa bagi setiap kategori jazz dan terbuka dalam pertandingan tersebut di Anaheim, California.
Pelajar Tingkatan 5 ini menyifatkan kejayaannya itu hasil sokongan tidak berbelah bagi dari keluarganya, guru-guru, dan rakan-rakannya serta usaha dirinya yang bersungguh-sungguh.

Agak sukar dan mencabar kerana persaingan yang hebat
Beliau juga menyatakan bahawa pertandingan itu sangat sukar dan mencabar baginya kerana semua peserta berusaha keras untuk mendapatkan gelaran juara.
“Pada mulanya, saya merasa takut dengan mereka, tetapi sebaik saja saya berada di atas pentas, saya benar-benar merasa boleh melakukannya,” katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Sibu pada hari Isnin (14 Ogos), memetik laporan.
Kedatangan Imran disambut hangat oleh keluarganya, rakan-rakan, guru-guru dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Joseph Chieng.
Menasihatkan agar sentiasa hormat ibu dan bapa untuk berjaya
Dalam pada itu, beliau turut memberi nasihat kepada individu yang berhasrat untuk mengikuti jejak langkah yang sama, juara dunia muda ini menekankan pentingnya menghormati ibu bapa.

“Semua keputusan mereka adalah untuk kebaikan anda. Jadi, teruskan apa yang anda suka kerana apabila anda melakukan apa yang anda suka, anda akan dapat menikmatinya.
“Lakukannya bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya lagi menurut sumber.
