Sumbangannya Terhadap Negara Semasa Berdepan COVID-19.
Pemain Kelab Liga M3 Ini Kongsi Pengalaman Jadi Juruterbang Bawa Pulang Rakyat Dari Iran. Tatkala seluruh dunia kini sibuk dengan pandemik COVID-19, perlawanan bola sepak di seluruh negara juga tergendala. Walau bagaimanapun, ini merupakan peluang buat seorang pemain kelab liga M3, Afif Najmi, untuk menyumbang jasa kepada negara. Beliau mengenepikan seketika jersi kelab yang disarungnya dan kembali bertugas sebagai seorang juruterbang dalam misi membawa pulang rakyat ke tanah air.
Menurut beliau, penglibatannya dalam misi membawa pulang rakyat dari Tehran, Iran pada 21 Mac yang lalu merupakan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. Beliau yang bertugas sebagai juruterbang menjalankan misi tersebut menerusi pesawat AirAsia dan membawa pulang sejumlah rakyat daripada negara yang terjejas teruk akibat wabak COVID-19.
Harus Ikut Prosedur Yang Ketat
Jelasnya lagi, sepanjang menyertai misi tersebut, beliau serta seluruh kru penerbangan harus mengikuti prosedur yang ketat dan teliti bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Semasa penerbangan tersebut, ruang dalaman kapal terbang tersebut dibahagikan kepada 3 zon iaitu zon yang menempatkan kru kabin, pasukan perubatan serta penumpang yang terdiri daripada 46 rakyat Malaysia, 8 rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia.
Tambah Afif, penerbangan tersebut melibatkan 3 kapten pesawat dan 2 pembantu juruterbang. Keseluruhannya melibatkan 22 petugas termasuk pasukan perubatan. Tambahan pula, penerbangan tersebut merupakan penerbangan dua hala sekaligus dan ia diakui amat memenatkan.
Semua Kru Penerbangan Guna Pakaian Bertutup Penuh Demi Keselamatan
Kesemua petugas yang berada di dalam pesawat sepanjang misi tersebut dikehendaki memakai pakaian yang bertutup penuh manakala setiap penumpang pula perlu jalani saringan sebelum dibenarkan masuk ke dalam pesawat.
Walau bagaimanapun, pemain yang berusia 29 tahun itu meluahkan rasa syukur kerana kesemua petugas yang berada dalam misi tersebut berada dalam keadaan sihat dan tidak dijangkiti COVID-19 setelah selesai melakukan pemeriksaan.
Bersedia Imbang Waktu Jadi Juruterbang Dan Pemain Bola
Afif Najmi yang kini bermain dengan kelab Melawati FC merupakan bekas pemain futsal negara dan hanya sempat menjalani latihan sebanyak dua kali sahaja untuk musim ini. Namun, beliau bersedia untuk cuba membahagikan masa antara kerjaya juruterbang dan bola sepaknya walau pun dikhuatiri jadual penerbangan semakin padat sesudah COVID-19 pulih.
Buat masa ini, beliau hanya mampu melakukan senaman ringan di rumah bagi mengekalkan stamina bagi membantu pasukan apabila musim ini disambung semula kelak.