Rebutlah Peluang Ini, Setahun Sekali Sahaja!
Permohonan Sertai TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2020 Kini Dibuka, Peluang Keemasan bagi Syarikat Pemula Sarawak. Anda seorang pengasas syarikat pemula? Tahukah anda bahawa anda kini boleh mula memohon untuk menyertai TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB) 2020 yang akan diadakan pada 13 hingga 18 April 2020. Program yang dianjurkan di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub, Kuching ini hanya diadakan sekali setahun, jadi inilah peluang keemasan untuk berkembang menjadi syarikat pemula yang berjaya.
Apakah TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp (TPAB)?
TPAB dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dengan kerjasama erat bersama rakan strategik mereka iaitu Sarawak Multimedia Authority (SMA), pitchIN dan WatchTower and Friends.
Berlangsung selama satu minggu, TPAB merupakan program yang menyasarkan syarikat pemula pada peringkat awal untuk pergi lebih jauh – bermula dengan mengesahkan idea perniagaan sehinggalah menghasilkan produk berguna minimum (Minimum Viable Product- MVP) dan merancang strategi ke pasaran (go-to-market strategy).
Bukan itu sahaja, pengisian program ini akan disampaikan oleh pakar-pakar industri dan usahawan-usahawan berpengalaman. Antara topik yang bakal diketengahkan adalah bagaimana cara untuk bermula, produk & kumpulan, strategi ke pasaran, pengumpulan dana dan pembentangan.
Bootcamp ini merupakan persediaan ke arah Demo Day yang akan menjadi hari penentu dalam memilih tiga pemenang utama dan juga merupakan peluang untuk membentangkan idea perniagaan anda kepada pelabur peringkat awal.
Selain itu, penyertaan dalam bootcamp ini juga memberi peluang yang cerah (green lane) kepada syarikat anda untuk terpilih ke program selanjutnya seperti TEGAS Startup Lab dan Sarawak Shell LiveWIRE. Pemenang Demo Day pula akan menerima pakej istimewa berupa pendaftaran syarikat dan akses percuma selama tiga bulan di SMA-TEGAS Digital Innovation Hub, iCOM Square (DIH).
Syarat Penyertaan? Simple Jak.
Syarat untuk menyertai TPAB ini sangat mudah.
- Terbuka kepada semua pemilik syarikat pemula yang berasal dari Sarawak ATAU;
- Mempunyai sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi yang berasal dari Sarawak
Itu sahaja.
Oh ya! Bagi penyertaan dari luar Kuching pula, jangan risau. Kos tiket penerbangan dan penginapan anda akan ditaja, asalkan anda menepati terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Syioh! Nei sik best gik nak?
Belum Cukup Yakin Untuk Turut Serta? Ini Pendapat Pemenang TPAB 2019.
Pemenang TPAB tahun lepas, Gabriela Riyis yang juga merupakan pengasas ‘Hello Gabby’ menyatakan bahawa TPAB merupakan platform yang betul pada masa yang tepat untuk membangunkan syarikat pemula miliknya.
“Dalam masa seminggu, kami temui mentor yang hebat dan berpeluang untuk membuat pembentangan di hadapan sekumpulan pelabur. Program ini membantu kami untuk memantapkan pelan perjalanan syarikat pemula kami dan menghasilkan strategi ke pasaran.”
Jadilah Sebahagian Daripada Inisiatif Digital Ekonomi Sarawak!
Penglibatan dalam program anjuran Digital Innovation Hub (DIH) seperti TPAB juga secara tidak langsung menjadikan anda sebahagian daripada inisiatif Digital Ekonomi Sarawak. DIH bertindak sebagai platform inklusif untuk menyokong dan memperkasakan syarikat pemula peringkat awal dan perusahaan sosial di Sarawak. DIH yang ditaja oleh SMA dan diuruskan oleh TEGAS, memberi anda akses kepada co-working space yang berpatutan, program inkubasi dan program pecutan selain akses kepada Rangkaian Ekosistem Digital Village.
Berdasarkan Sarawak Digital Economy Strategy 2018-2025 (Digital Innovation & Entrepreneurship: Action 37), kerajaan Sarawak menerusi SMA menyasarkan untuk menubuhkan sebuah pusat inovasi di setiap bahagian di Sarawak dan membantu agensi lain (sektor swasta, universiti & komuniti).
Apa ditunggu gik? Mohon kinek tok!
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Mac 2020. Untuk mendaftar, layari link ini : Permohonan TEGAS Pre-Accelerator Bootcamp 2020