Rundingan pengagihan gas dengan PETRONAS selesai
Petros Kini Diiktiraf Sebagai Pengagih Tunggal Gas Asli Sarawak, Ambil Alih Dari Petronas. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengesahkan bahawa rundingan antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) berhubung peranan PETROS dalam pengagihan gas di negeri itu kini telah selesai.
Keputusan ini melibatkan persetujuan secara prinsip dari pihak PETRONAS untuk menjadikan PETROS sebagai pengumpul tunggal atau “sole aggregator” bagi gas asli yang dihasilkan di Sarawak.

Petros Kini Pegang Kuasa Eksklusif Pengagihan Gas
Abang Johari, yang menghadiri Rumah Terbuka Deepavali anjuran Persatuan Kuil Sikh Sarawak, memberitahu bahawa PETRONAS telah diberikan tempoh tiga bulan bagi menyelesaikan perbincangan dengan PETROS mengenai pengagihan gas. Walaupun tiada dokumen rasmi yang dikeluarkan setakat ini, beliau menyatakan keyakinannya bahawa persetujuan rasmi akan diumumkan tidak lama lagi.
Abang Johari menjelaskan bahawa dengan persetujuan prinsip yang dicapai ini, PETROS akan memainkan peranan utama sebagai pengumpul dan pengedar tunggal gas di Sarawak. “Perkara ini telah dipastikan dan secara rasmi boleh diumumkan. Ini bermakna kita akan meneruskan usaha sebagai aggregator dan formula serta butiran lanjut akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya.
Abang Johari juga memaklumkan bahawa perkembangan terkini ini telah dimaklumkan kepada Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, dan beliau turut memberi jaminan bahawa dokumen rasmi mengenai perjanjian ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Pelantikan PETROS sebagai pengumpul tunggal gas asli adalah satu pencapaian penting yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam mengawal sumber asli negeri, tetapi juga memberi peluang kepada Sarawak untuk menguruskan hasil gasnya secara lebih efisien dan langsung. Dengan pengiktirafan ini, Sarawak dijangka dapat menjamin kestabilan bekalan gas untuk sektor industri serta keperluan domestik di seluruh negeri.
Keputusan ini juga selaras dengan pindaan Ordinan Pengedaran Gas 2016 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak pada November tahun lalu. Ordinan ini memberikan PETROS kuasa penuh untuk menguruskan pengedaran dan penjualan gas kepada pembeli hiliran di Sarawak, yang diharapkan akan merangsang pembangunan industri tempatan dan ekonomi negeri.
Dengan pengurusan yang lebih terancang dan kendalian terus dari PETROS, Sarawak berada pada kedudukan kukuh untuk memanfaatkan sumber asli gas bagi pembangunan mampan dan masa depan ekonomi yang lebih cemerlang.

