Projek Hab Minyak Dan Gas RM8.88 Bilion: Sabah Bakal Jadi Kuasa Besar Tenaga Asia Tenggara. Sabah bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam landskap tenaga Asia Tenggara dengan pelancaran Projek Hab Minyak dan Gas, Tenaga bernilai RM8.88 bilion (USD2 bilion) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata projek ini merupakan satu pencapaian penting dalam strategi tenaga dan perindustrian Malaysia, sekali gus membuka jalan untuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang, penciptaan peluang pekerjaan serta kemajuan teknologi di rantau ini.

“SOGIP akan menjadi pemangkin kepada pengembangan sektor tenaga, yang amat penting bagi pembangunan ekonomi Sabah. Lebih penting lagi, projek ini bakal membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama, inovasi, dan pelaburan dalam industri minyak, gas dan tenaga — memberikan manfaat langsung kepada perniagaan serta komuniti setempat,” katanya semasa majlis pelancaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa.
Fokus Pada Kelestarian Alam Sekitar
Hajiji turut menegaskan bahawa pembangunan SOGIP akan memberi penekanan kepada kelestarian alam sekitar seiring dengan komitmen Malaysia ke arah masa depan yang rendah karbon.
“Ketika negara bergerak ke arah mengurangkan jejak karbon, integrasi sumber tenaga yang lebih bersih seperti gas asli cecair (LNG) akan menjadi elemen penting dalam strategi peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
Beliau menambah bahawa sistem penyimpanan dan pengedaran tenaga di SOGIP sedang direka bentuk untuk menyokong sasaran jangka panjang negara dalam tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan memastikan bekalan gas asli dan bahan api rendah karbon yang stabil, SOGIP boleh berfungsi sebagai jambatan dalam peralihan daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin dalam campuran tenaga Malaysia,” jelasnya.
Kerjasama Strategik Kukuhkan Ekonomi
Projek Hab Minyak dan Gas, Tenaga ini adalah hasil kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) — yang menguruskan SOGIP — dan Gibson Shipbrokers Limited, sebuah syarikat global terkemuka dalam bidang perkapalan, tenaga dan perindustrian.
Projek ini akan dibangunkan dalam dua fasa, termasuk pembinaan pelabuhan bertaraf dunia bagi meningkatkan aktiviti pengangkutan tenaga dan perdagangan.
Menariknya, 80 peratus daripada tenaga kerja yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada bakat tempatan, sejajar dengan komitmen kerajaan negeri dalam penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran.
Hajiji menegaskan bahawa pelaksanaan projek ini bukan sahaja akan merancakkan ekonomi domestik, tetapi juga mengukuhkan keselamatan tenaga serantau dan meningkatkan perdagangan antarabangsa.
“Dengan sokongan kukuh daripada sektor swasta dan kerajaan, SOGIP dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi, dan pengembangan industri.
“Ketika Malaysia memperkukuhkan kedudukannya di pasaran tenaga global, projek ini akan memainkan peranan strategik dalam membangun daya tahan ekonomi, mencapai kemerdekaan tenaga dan memastikan pertumbuhan industri secara mampan,” katanya.
Manfaat Kepada Penduduk Tempatan
Selain manfaat ekonomi, Hajiji memberi jaminan bahawa projek ini akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan, program latihan kemahiran serta inisiatif pemerkasaan komuniti.
“Saya sentiasa menekankan kepentingan mengutamakan pengambilan tenaga kerja Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini. Pemain industri perlu mematuhi keperluan asas ini sebagai sebahagian daripada komitmen kita terhadap pembangunan tempatan,” katanya.
Bagi mengukuhkan komitmen ini, Majlis Kandungan Tempatan Sabah telah ditubuhkan melalui SMJ Energy pada Mei 2024 sebagai platform kerjasama antara pemegang taruh industri bagi meningkatkan pembangunan kandungan tempatan dalam sektor minyak dan gas.
“Menerusi platform ini, Kerajaan Negeri akan mewajibkan semua pemegang taruh untuk melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja Sabah, dengan program jangka pendek serta sederhana yang akan dilaksanakan mulai 2025,” tambahnya.
Hajiji sekali lagi menegaskan komitmen teguh Kerajaan Negeri dalam memastikan kemajuan dan pertumbuhan industri minyak dan gas di Sabah.
“Melalui kerjasama yang berterusan dan sokongan bersama, kita boleh memperkukuhkan lagi kedudukan Sabah dalam sektor tenaga, seterusnya memacu kemakmuran ekonomi dan pertumbuhan industri yang mampan bagi negeri ini,” katanya.
Pelancaran Projek Hab Minyak dan Gas, Tenaga ini dilihat sebagai pemacu utama ke arah menjadikan Sabah sebagai hab tenaga serantau yang berdaya saing, inovatif dan berpotensi besar dalam menarik pelaburan sekaligus membawa transformasi ekonomi ke negeri ini.

