Leopold II dan impiannya untuk Menjajah Sarawak
Raja Belgium Pernah Jatuh Cinta Dengan Sarawak, Hampir Mahu Membelinya. Bila sebut tentang Belgium, ramai yang terbayang keindahan seni bina klasik dan coklatnya yang terkenal di seluruh dunia.
Namun, tahukah anda bahawa Sarawak pernah menawan hati Raja Belgium, Leopold II dan beliau juga pernah berhasrat untuk membeli Sarawak pada abad ke-19? Jom kita selami sejarah ini dengan lebih lanjut.

Siapa Raja Leopold II?
Raja Leopold II menaiki takhta Belgium pada tahun 1865 dan memerintah sehingga 1909, menjadikannya raja paling lama berkhidmat dalam sejarah negara itu. Digelar sebagai “Raja Pembina,” beliau banyak membina bangunan dan infrastruktur yang masih berdiri teguh hingga kini. Namun, di sebalik gelaran tersebut, beliau juga terkenal dengan cita-citanya untuk memiliki tanah jajahan di luar Eropah demi kepentingan sendiri.
Leopold II & Minatnya Terhadap Sarawak
Pada tahun 1861, berita mengenai Sarawak yang diperintah oleh James Brooke tersebar luas di seluruh dunia. Dengan hasil bumi yang kaya seperti emas dan hasil hutan, Sarawak menjadi destinasi yang menarik bagi kuasa-kuasa Eropah yang mencari peluang ekonomi. Leopold II, yang ketika itu masih bergelar Duke of Brabant, melihat peluang ini dan menghantar perutusan ke Sarawak untuk berbincang dengan James Brooke.
Dalam perbincangan itu, Raja Belgium menawarkan untuk membeli Sarawak dengan harga £130,000 (bersamaan kira-kira £11 juta dalam nilai sekarang). Namun, ada satu syarat—Brooke harus datang ke Brussels untuk menyelesaikan urusan jual beli ini. Segalanya sudah disediakan, tetapi akhirnya James Brooke tidak pernah muncul untuk pertemuan tersebut, menyebabkan perjanjian itu terbatal.

Kenapa James Brooke Tolak Tawaran Raja Belgium?
Menurut buku Rogue Empires: Contracts and Conmen in Europe’s Scramble for Africa oleh Stephen Press, James Brooke mempunyai sebab kukuh untuk tidak mahu Sarawak jatuh ke tangan Leopold II. Raja Belgium ini dikatakan hanya berminat untuk mengeksploitasi Sarawak bagi keuntungan sendiri tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat tempatan.
Leopold II juga enggan menghormati adat dan budaya rakyat Sarawak, dan lebih membimbangkan, beliau melihat rakyat Sarawak sebagai sumber buruh paksa—sesuatu yang akhirnya terbukti apabila beliau berkuasa di Congo. Dengan pengaruhnya, Brooke dipercayai turut memainkan peranan dalam memastikan Belanda dan Sepanyol tidak menjual Kalimantan dan Filipina kepada Leopold II.
Leopold II Beralih Arah ke Afrika
Setelah gagal mendapatkan Sarawak, Kalimantan, dan Filipina, Leopold II akhirnya mengalihkan perhatiannya ke Afrika Tengah. Pada tahun 1885, beliau berjaya memiliki Congo Free State sebagai tanah jajahannya sendiri. Namun, apa yang berlaku selepas itu merupakan salah satu tragedi kemanusiaan paling dahsyat dalam sejarah dunia.
Dalam tempoh pemerintahannya di Congo, berjuta-juta rakyat pribumi dipaksa bekerja dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan. Mereka yang tidak memenuhi kuota pengeluaran getah akan diseksa, dan ada juga kampung-kampung yang dibakar bagi menakut-nakutkan penduduk tempatan. Kezaliman ini dikenali sebagai “Congo Horrors,” yang mengorbankan hampir 50% populasi pribumi Congo ketika itu.
Bayangkan Jika Sarawak Jatuh ke Tangan Leopold II…
Sejarah “Congo Horrors” memberikan gambaran ngeri tentang apa yang mungkin berlaku sekiranya James Brooke menerima tawaran Leopold II untuk menjual Sarawak. Kita mungkin tidak akan menikmati kemerdekaan dan keamanan seperti sekarang kerana nenek moyang kita mungkin telah menjadi mangsa eksploitasi yang sama seperti rakyat Congo.

