Individu berkenaan ditahan susulan penahanan pembantu penguatkuasa sebelumnya
Disyaki Makan Rasuah RM100K dari 30 Syarikat, Pegawai Penguatkuasa Ditahan SPRM Sabah. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan seorang lagi pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah RM100,000 daripada syarikat pengangkutan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Menurut sumber, suspek berusia sekitar 40-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah semalam.

Penahanan pegawai penguat kuasa ini susulan penangkapan seorang pembantu penguat kuasa oleh SPRM Sabah pada Selasa lalu.
Siasatan awal mendapati suspek meminta rasuah daripada 30 buah syarikat pengangkutan
Siasatan awal mendapati suspek kedua dipercayai meminta rasuah daripada kira-kira 30 syarikat pengangkutan dari Oktober 2023 hingga November 2024, dengan jumlah bayaran bulanan antara RM300 hingga RM3,000, yang keseluruhannya dianggarkan mencecah RM100,000.
Wang tersebut dipercayai digunakan sebagai insentif untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat yang terlibat dalam kesalahan lalu lintas.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy, mengesahkan penahanan terbaru ini dan menyatakan bahawa kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 1(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek telah dibebaskan dengan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin selepas keterangannya diambil.

