Rumah Sewa Jadi Port Simpan Rokok Seludup, RM657,600 Barang Kena Sapu Polis Marin Sarawak
Rumah Sewa Jadi Port, Rokok Seludup Ratusan Ribu Diserbu Di Limbang. Dalam satu operasi epic yang dikenali sebagai Op Taring Landai, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 berjaya membongkar aktiviti penyimpanan rokok seludup di sebuah rumah sewa di kawasan perumahan RPR Fasa 4, Batu Biah.
Operasi yang berlangsung pada awal pagi Ahad itu menyaksikan rampasan rokok tanpa cukai bernilai RM657,600, menurut laporan media tempatan.

Menurut Komander PPM Wilayah 5, ACP Ab Rahman Mat Hasan, operasi dijalankan pada jam 12.05 pagi dan melibatkan penemuan 480,000 batang rokok putih serta 54,400 batang rokok kretek. Namun, tiada individu berjaya ditahan di lokasi kejadian.
“Modus operandi mereka adalah menggunakan rumah sewa sebagai tempat simpanan barangan seludup,” katanya dalam kenyataan media.
Semua barangan yang dirampas kini disimpan di Pangkalan Taktikal PPM Wilayah 5 Limbang untuk tindakan lanjut.
Hasil Rampasan Cecah RM1.7 Juta Tahun Ini
Ab Rahman turut mendedahkan bahawa sepanjang tahun ini, pihaknya telah berjaya melaksanakan rampasan barangan seludup bernilai lebih RM1.7 juta dengan kerjasama pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang.
“Dari Januari hingga Disember, dua individu termasuk seorang wanita telah ditahan. Kami juga menyita tiga kenderaan dan sebuah bot laju yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan,” tambahnya.
Orang ramai diharapkan beri kerjasama
Beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM), terutamanya PPM Wilayah 5, akan terus komited untuk membanteras aktiviti penyeludupan di daerah tersebut.
“Orang ramai juga diharap dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.
Rakyat Sokong, Penyeludup Goyang
Nampaknya, operasi sebegini memberi mesej jelas kepada penyeludup: Sarawak tak main-main kalau bab barang seludup! Jadi, kepada penyeludup di luar sana, mungkin dah tiba masa untuk ‘bersara’ sebelum kena serbu tengah malam.
Kudos buat PPM Wilayah 5 atas usaha keras mereka!

