Sarawak bakal ucap selamat tinggal kepada tong gas merah, tapi dengan satu syarat
Sarawak Bakal Nikmati Pemasangan Paip Gas Percuma Jika Dana PETROS Mencukupi. Rakyat Sarawak boleh menarik nafas lega apabila pemasangan paip gas ke rumah bakal menjadi percuma dengan satu syarat: PETROS mesti cukup dana untuk menampung kos tersebut.
Memetik laporan dari Utusan Borneo, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menjelaskan bahawa buat masa ini, pemasangan percuma ini hanya dilakukan di Miri sebagai projek perintis yang ditanggung sepenuhnya oleh PETROS.
Kita mulakan dengan Miri dahulu kerana Miri memang sudah ada sistem paip gas. Jika projek ini berjaya, kita akan buat analisis kosnya sebelum kembangkan ke seluruh Sarawak. Kuching akan jadi lokasi kedua selepas hab tenaga di sana untuk Pelan Hala Tuju Gas Sarawak siap,” ujar beliau.

Kos RM3,000 jadi percuma?
Menurut Abang Johari, kos pemasangan paip gas ini dianggarkan sekitar RM3,000 untuk satu rumah. Tetapi di Miri, semuanya percuma. Beliau turut optimis, jika Sarawak mendapat hasil tambahan daripada gas, usaha ini boleh diperluaskan ke seluruh negeri.
Kalau gas kita banyak dan pendapatan meningkat, tak salah kita beri percuma kepada rakyat. Ini akan membantu kurangkan beban rakyat, tak perlu beli tong gas lagi, malah kadar gas pun lebih murah,” jelas beliau.
Selain itu, beliau menekankan manfaat praktikal paip gas ini. Dengan paip gas yang terus disambungkan ke rumah, orang ramai tak perlu lagi berurusan dengan tong gas merah. “Ketek ajak, terus keluar gas,” tambah beliau berseloroh.

Menuju ke arah negeri maju
Projek pemasangan paip gas ini merupakan langkah penting dalam Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SRG). Selepas siap, hab tenaga di Miri akan membekalkan gas ke kawasan Miri, Limbang, dan Lawas, manakala Bintulu akan menampung kawasan tengah, dan Kuching untuk kawasan selatan.
Selain isi rumah, premis perniagaan seperti warung juga boleh menggunakan kemudahan ini. “Kalau nak jadi negeri maju, kita mesti ada infrastruktur gas. Lihat saja negara maju, mereka semua guna sistem ini,” katanya.

Projek ini diterajui oleh Sarawak Gas Distribution Sdn Bhd (SGD), anak syarikat milik penuh PETROS, dan dijalankan dalam lima fasa. Setakat ini, ia sudah memasuki Fasa 2 dan 3 dengan persiapan sedang giat dilakukan untuk Fasa 4 dan 5.
Inisiatif ini bertujuan menyediakan akses kepada tenaga yang lebih bersih, selamat, dan berpatutan, terutama untuk isi rumah berpendapatan rendah. Dengan projek ini, PETROS menunjukkan komitmen mereka untuk memartabatkan komuniti tempatan.
Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Hui Kian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Pengerusi PETROS Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo, serta beberapa menteri kabinet negeri dan pegawai kanan PETROS.
Adakah kita bakal ucap selamat tinggal kepada tong gas merah? Sama-sama kita nantikan!

