8 kes merupakan kes penularan tempatan dan 2 kes lagi merupakan kes import
Sarawak Catat 10 Kes Positif COVID19, Kapit Turut Catat Kes Positif Pertama.Taburan kes mengikut daerah adalah seperti berikut : Miri mencatatkan 3 kes, Bintulu 2 kes, Sibu 2 kes, Kuching 2 kes dan Kapit 1 kes.
1 kluster baru iaitu Kluster Stutong juga diumumkan hari ini yang melibatkan Daerah Kuching, Serian dan Lundu di Sarawak. Indeks kes kepada kluster ini ialah kes 1,119 yang telah dikesan pada 01 Januari 2021 hasil saringan individu yang bergejala di sebuah hospital swasta di Bandaraya Kuching. Jumlah kes positif melibatkan kluster ini setakat hari ini adalah seramai lima (5) orang termasuk kes indeks.
Daerah Kuching: Saringan Kontak Kepada Kes Positif COVID-19: (2 Kes Jangkitan Tempatan)
Kes 1,131 dan 1,132 merupakan dua (2) wanita warga tempatan (Sarawak) yang telah menjalani saringan COVID-19 kerana mempunyai kontak rapat dan juga rakan sekerja kepada
kes 1,119. Kedua-dua kes ini telah menjalani saringan COVID-19 di sebuah klinik kesihatan kerajaan pada 02 Januari 2021 dan keputusan ujian rT-PCR mendapati mereka positif pada hari yang sama.
Kedua-dua kes tidak menunjukkan tanda atau gejala dan telah dirujuk dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut. Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan yang telah mendapat jangkitan COVID-19 daripada kes indeks iaitu kes 1,119. Siasatan lanjut kepada kes ini dan pengesanan kontak-kontak lain masih giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.
Daerah Bintulu: Saringan Individu Yang Balik dari Semenanjung Malaysia: (2 Kes Import-B)
Kes 1,133 dan 1,134 adalah dua (2) orang warga tempatan (bukan Sarawak) yang telah masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Bintulu pada 01 Januari 2021 bagi tujuan bekerja sebagai pengurus penyelengaraan peralatan di sebuah kilang di Bintulu. Kes 1,134 adalah anak kepada Kes 1,133 yang melakukan perjalanan yang sama dari Selangor melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Kedua-dua kes telah tiba di Lapangan Terbang Bintulu pada 01 Disember 2020 dan telah menjalani saringan COVID-19. Kes-kes juga telah dimasukkan ke pusat kuarantin bagi menjalani arahan kuarantin wajib selama 14 hari. Keputusan ujian rT-PCR keduadua kes didapati positif pada 02 Januari 2021.
Kedua-dua kes tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan telah dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut. Kes-kes ini dikategorikan sebagai kes Import B iaitu telah mendapat jangkitan semasa masih berada di kawasan berisiko jangkitan COVID-19 iaitu Selangor. Siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang dijalankan.
Daerah Miri: Saringan Individu Yang Mempunyai Kontak Dengan Kes Positif COVID-19: (3 Kes Jangkitan Tempatan)
Kes 1,135, 1,136 dan 1,137 adalah tiga (3) orang warga tempatan (Sarawak) yang disaring kerana mempunyai kontak rapat kepada kes 1,116 yang telah dilaporkan pada 31 Disember 2020. Ketiga-tiga kes ini adalah rakan sekerja dan kontak sosial kepada kes indeks iaitu kes 1,116. Ketiga-tiga kes telah menjalani saringan COVID-19 pada 01 Januari 2020 dan didapati positif pada 02 Januari 2021. Seorang daripada mereka mula mengalami batuk pada 01 Januari 2020 manakala dua (2) orang lagi tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala dan telah dirujuk dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Miri untuk rawatan lanjut.
Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan yang telah mendapat jangkitan COVID-19 daripada kes indeks iaitu kes 1,116. Siasatan lanjut kepada kes ini dan pengesanan kontak kontak lain masih giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.
Daerah Sibu: Saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Penjara: (2 Kes Jangkitan Tempatan)
Kes 1,138 dan 1,139 adalah dua (2) orang lelaki warganegara Indonesia yang telah ditangkap dan didapati bersalah kerana telah berada di Sarawak melebihi tempoh. Mereka adalah adik beradik yang telah ditahan pada 09 Disember 2020 di Sibu. Hasil siasatan dan pengakuan daripada kes-kes tersebut, mereka telah berada di Sarawak sejak dua (2) tahun yang lalu dan mereka mengaku tidak pernah balik ke negara asal. Kes 1,138 sebelum ditangkap adalah pemandu lori sampah yang beroperasi di sekitar Sibujaya dan Kanowit manakala kes 1,139 adalah seorang pemotong rumput dan pekerja am yang bekerja di sekitar Sibujaya, Sibu
Kes-kes ini telah ditangkap pada 09 Disember 2020 dan telah ditempatkan di Depo Tahanan Sementara Imigresen bersama 19 OKT yang lain. Semasa dalam tahanan Imigresen, kes-kes ini telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 10 Disember 2020 dan didapati negatif ujian rT-PCR.
Ujian saringan kedua pada 24 Disember 2020 sebelum mereka dimasukkan ke penjara juga didapati negatif ujian rT-PCR COVID19. Walau bagaimanapun, semasa saringan ketiga semasa di dalam penjara, kedua-dua kes ini telah didapati positif COVID-19 melalui ujian rT-PCR yang telah diambil pada 31 Disember 2020. Kedua-dua kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala jangkitan dan kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Berdasarkan siasatan awal dan pengakuan daripada daripada kes-kes tersebut, kedua-dua kes ini adalah kes jangkitan tempatan. Siasatan lanjut kepada kes-kes ini masih dijalankan.
Daerah Kapit: Saringan Pekerja Di Tapak Pembinaan: (1 Kes Jangkitan Tempatan)
Kes 1,140 merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia yang bekerja di sebuah tapak pembinaan jalan raya di Kapit yang telah menjalani saringan COVID-19 pada 31 Disember 2020. Kes ini adalah pekerja yang masuk secara sah dan telah berada di Sarawak sejak tahun 2018 lagi. Kes bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat pembinaan tempatan yang membuat projek jalan raya menuju ke Empangan Baleh, Kapit. Kes juga pernah bekerja di Tatau dan Bintulu sebelum bekerja di Kapit.
Kes telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada 31 Disember 2020 semasa aktiviti saringan pekerja di tapak pembinaan dan ujian rT-PCR kes ini didapati positif pada 02 Disember 2020. Kes ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala jangkitan COVID-19. Kes akan dirujuk dan dimasukkan ke ward pengasingan di Hospital Sibu untuk rawatan lanjut. Kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dan pengesanan dan saringan kepada kontak-kontak lain kepada kes ini sedang giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Kapit.
Dengan pengisyitiharan Kluster Stutong, Sarawak kini mempunyai 2 kluster aktif iaitu kluster Mador dan juga kluster stutong. Jumlah kes yang sedang dirawat dan diasingkan di hospital di seluruh Sarawak pula adalah 48 kes.