Cipta Malaysia Book of Records dengan menanam pokok Shorea
Sarawak Ingin Cipta Rekod Baru, Tanam 5,000 Pokok Shorea Sempena Hari Hutan Antarabangsa. Dilaporkan, Jabatan Hutan Sarawak (FDS) sedang berusaha mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records dengan menanam 5,000 pokok daripada 60 spesies Shorea yang berbeza di Hutan Simpan Sabal, Simunjan.
Inisiatif yang diadakan sempena Hari Hutan Antarabangsa ini, mencerminkan komitmen Sarawak terhadap pemuliharaan alam sekitar dan usaha penghijauan global.

“Pencapaian luar biasa ini juga merupakan percubaan rasmi untuk mencipta rekod baharu bagi ‘Penanaman Spesies Pokok Shorea Paling Banyak dalam Satu Acara’ dalam Malaysia Book of Records,” kata FDS dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis ini turut disempurnakan oleh Pengarah Hutan, Datu Hamden Mohammad, dan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 500 peserta. Antara yang turut serta ialah wakil daripada FDS, Sarawak Energy Berhad (SEB), Persatuan Jepun-Malaysia (JMA), dan komuniti setempat.
“Inisiatif ini juga selari dengan Kempen Penghijauan Sarawak dan agenda Penghijauan Malaysia di peringkat kebangsaan, di mana Sarawak terus mendahului negeri-negeri lain dengan pencapaian sebanyak 46.3 juta pokok yang telah ditanam setakat ini,” katanya.

Shorea adalah sejenis pokok tropika daripada keluarga Dipterocarpaceae, yang memainkan peranan penting dari segi ekologi, budaya, dan ekonomi di Sarawak serta Malaysia.
Ia juga merupakan genus terbesar dalam keluarga Dipterokarpa, terkenal dengan sumbangan besarnya kepada biodiversiti dan ekosistem hutan.
“Inisiatif hari ini adalah bukti komitmen Sarawak terhadap pemuliharaan hutan dan peningkatan biodiversiti,” kata Hamden.
Beliau menambah bahawa usaha menanam pelbagai spesies Shorea bukan sahaja menyokong kelestarian ekologi, tetapi juga menunjukkan dedikasi FDS dalam memelihara warisan hutan Sarawak dan melindungi spesies pokok yang berharga ini.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 21 Mac sebagai Hari Hutan Antarabangsa pada tahun 2012 untuk meraikan dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hutan di seluruh dunia.
Negara-negara digalakkan untuk menganjurkan aktiviti seperti kempen penanaman pokok bagi menggalakkan pemuliharaan hutan.

