Terkejut dengan tetamu tak diundang
Sekeluarga Terkejut, Ular Tedung Sembunyi Belakang Almari. Seluruh keluarga terkejut dengan kehadiran tetamu tak diundang, seekor ular tedung hitam berada di dalam rumah mereka, di Kampung Tabahan, Limbang, malam Ahad. Difahamkan, ular yang ditemui itu bersembunyi di belakang almari.
Bagaimanapun, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang Leftenan (PA) Mirwan Shah Masri menyatakan, sekeluarga itu terkejut dengan kehadiran ular berkenaan lalu segera menghubungi pihaknya sekitar jam 7.15 malam untuk mendapat perkhidmatan khas bagi menangkap haiwan berbisa itu.
“Ketika anggota tiba, keluarga terbabit mendakwa ular berkenaan dilihat kali terakhir menyelinap memasuki bilik stor dan anggota APM menyelongkar almari berkenaan bagi mengesan ular berkenaan,” katanya menurut laporan.
Malah, dia turut memaklumkan ular tedung sepanjang lebih kurang satu meter yang berada di belakang almari di dalam bilik stor itu berjaya ditangkap. Namun, ular tedung hitam tersebut dilepaskan semula ke habitat asalnya di kawasan hutan.
Kesan bisa ular tedung hitam
Untuk makluman, kesan bisa ular tedung hitam bergantung kepada jumlah bisa yang memasuki badan. Contohnya, semburan bisa pada mata boleh mengakibatkan buta. Manakala, sekiranya semburannya itu terkena kepada luka, ia boleh membahayakan nyawa. Racunnya memberi kesan kepada saraf, jantung dan darah.