Tak Perlu Susah-Susah, Bayar ‘Online’ Pun Boleh Bah!
Tak Sempat Ganti Puasa? Bayar Fidyah Secara ‘Online’ Pun Boleh. Bulan puasa tinggal beberapa hari sahaja lagi. Sudahkah anda menggantikan puasa anda yang tercicir tahun lepas dengan lengkap? Atau anda tidak sempat berbuat demikian? Jika begitu, anda haruslah membayar fidyah bagi menggantikan puasa anda yang ditinggalkan.
Apa Itu Fidyah?
Secara ringkasnya, fidyah ialah sejumlah bayaran denda yang dikenakan ke atas seorang individu Muslim yang tidak meninggalkan puasanya pada sesuatu tahun dan tidak menggantikannya sehinggalah tiba Ramadan tahun berikutnya. Kebiasaannya, kadar denda ini dikira berdasarkan kadar makanan ruji penduduk iaitu secupak beras. Kadarnya pula berbeza mengikut tempat. Hukum membayar fidyah adalah wajib, ya.

Bagi mereka yang tidak sempat menggantikan puasa yang tertinggal, pembayaran fidyah anda kini lebih mudah apabila urusan pembayaran kini boleh dilakukan secara atas talian di portal pelanggan Tabung Baitulmal Sarawak iaitu Baitulmal Kamek.
Seorang pengguna Facebook, Haidzum Hazwani Hairi telah memuatnaik panduan pembayaran fidyah secara ‘online‘ menerusi portal tersebut untuk kemudahan umat Muslim terutamanya pada musim wabak yang tidak menentu ini. Jadi, ada baiknya juga platform digital sebegini diwujudkan kerana ia dilihat lebih menjamin keselamatan dan kesihatan orang awam masa kini.
Ikuti Langkah Ringkas Ini Untuk Melakukan Pembayaran Online
Jadi, bagaimana hendak melakukan pembayaran fidyah secara ‘online’? Ikuti langkah ringkas seperti yang disyorkan oleh saudara Haidzum ini.
1. Log masuk ke portal Baitulmal Kamek. Daftar baru sekiranya anda belum mendaftar.

2. Klik bahagian ‘Bayaran‘. Kemudian, pilih ‘Baru‘.

3. Pilih produk ‘Fidyah‘ dan masukkan jumlah fidyah yang ingin anda bayar. Tekan ‘Tambah‘. Ringkasan bayaran anda akan terpapar di bahagian bawah.

4. Setelah anda yakin dengan jumlah fidyah yang anda masukkan, tekan ‘Seterusnya‘ untuk proses pembayaran. Ada tiga pilihan pembayaran disediakan iaitu melalui VISA, Mastercard dan FPX.
5. Selesai! Alhamdulillah.
Untuk pengetahuan anda, pembayaran online ini tidak tertakluk kepada pembayaran fidyah sahaja tetapi juga pembayaran lain seperti pembayaran zakat (emas/perak, saham, pendapatan, perniagaan, KWSP, tanaman, ternakan serta wang simpanan).
Wah! Sekarang semuanya telah beralih ke zaman digital. Ini merupakan suatu insiatif yang wajar daripada Tabung Baitulmal Sarawak bagi menggalakkan pelanggannya berurusan secara maya selain mengurangkan risiko terdedah dengan wabak apabila dilakukan secara bersemuka.
Anda memerlukan bantuan segera semasa PKP? Baca selanjutnya di sini :