Cipta slogan menarik filem pendek ‘JETAMA | Kaamatan 2025: Tahun Depan’
Jetama Tawar RM500 untuk Penonton Bertuah Filem Pendek Kaamatan 2025. Sempena sambutan Pesta Kaamatan 2025, syarikat Jetama Sdn Bhd tampil dengan inisiatif menarik — pelancaran filem pendek bertajuk “JETAMA | Kaamatan 2025: Tahun Depan” dan tawaran wang tunai RM500 kepada 50 penonton bertuah.
Filem pendek berdurasi 11 minit itu telah dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube rasmi Jetama pada 22 Mei 2025 lalu.

Kisah Sarat Nilai & Emosi
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Jetama, Datuk Ahmad Naim bin Uddang, filem ini mengetengahkan tema pengorbanan, kekeluargaan dan janji antara adik-beradik yang mampu menyentuh hati para penonton.
Plot mengisahkan tentang Esther, seorang gadis yang berdepan dilema — sama ada meneruskan perjalanan untuk menyertai pertandingan Unduk Ngadau seperti dijanjikan kepada kakaknya, atau memilih untuk membantu mangsa kemalangan yang tidak dikenali.
Kisah ini membawa mesej mendalam tentang nilai murni dan tanggungjawab sesama manusia, yang bertepatan dengan semangat perayaan Kaamatan.
Hasil Kerja Profesional & Lokasi Asli
Istimewanya filem pendek ini, ia merupakan hasil sentuhan pengarah terkenal, Mohd Ghazzali Abu Bakar, yang bergandingan dengan penulis skrip tempatan, Siti Syazurah Mohd Anwar.
Penggambaran hanya mengambil masa dua hari dan dijalankan sepenuhnya di Kampung Sangkir, Kota Belud, Sabah, dengan membariskan pelakon tempatan iaitu Shelviana Josh (Esther) dan Julina Yongun (watak ibu).
Sertai Peraduan & Menang RM500
Bagi menyemarakkan lagi sambutan Kaamatan, Jetama menjemput rakyat Malaysia menyertai pertandingan mencipta slogan ringkas berdasarkan filem tersebut.
Cara menyertai:
- Tonton filem pendek Kaamatan 2025: Tahun Depan di YouTube.
- Kongsi pautan video tersebut di akaun media sosial anda (Facebook, Instagram atau TikTok).
- Tulis satu ayat bermula dengan: “Saya suka video ini kerana…”
(Had maksima 20 patah perkataan) - Sertakan hashtag berikut dalam hantaran:
#kaamatanJetama2025,#jetama,#kaamatanuntuksemua - Pastikan hantaran anda ditetapkan kepada ‘public’ untuk membolehkan pihak penganjur melakukan pemantauan dan penilaian.
📅 Tempoh penyertaan: 28 Mei hingga 8 Jun 2025
Tema Tahun Ini: “Kaamatan Untuk Semua”
Datuk Ahmad Naim berharap agar filem ini bukan sahaja mampu mencuri hati penonton, tetapi juga mengangkat tema “Kaamatan Untuk Semua” yang mengajak rakyat Malaysia menghargai budaya dan nilai perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
Jadi, jangan lepaskan peluang! Saksikan filemnya, kongsikan pendapat anda dan siapa tahu, anda mungkin salah seorang daripada 50 pemenang bertuah yang membawa pulang RM500 tunai.

