Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) telah mengambil tindakan untuk menangkap buaya tersebut
Kelibat Buaya Dikesan Di Sekolah Rendah Simunjan, SFC Nasihatkan Orang Awam Berwaspada. Dilaporkan seekor buaya dilihat di SK Tanjung Pisang, Selangking, dekat Simunjan.
SFC telah mengingatkan orang awam terutamanya guru, pelajar dan ibu bapa mereka untuk lebih berhati-hati dan jangan mendekati kawasan di mana buaya itu dilihat.
Buaya tersebut dipercayai sepanjang 1.2 meter
Menurut laporan, buaya tersebut dipercayai sepanjang 1.2 meter dan terakhir dilihat di bawah jeti sekolah berkenaan di atas longkang.
Pihak pentadbiran sekolah juga telah dimaklumkan oleh SFC untuk melaporkan kepada SFC dengan segera jika mereka menyedari kehadiran buaya terbabit.
Sebuah papan tanda amaran buaya juga telah dipasangkan oleh SFC di kawasan itu sebagai peringatan kepada guru, pelajar dan penjaga mereka agar lebih berhati-hati dan tidak mendekati kawasan berkenaan.
Sementara itu, tali dan cangkuk telah dipasang oleh SFC di sepanjang kawasan itu bagi menangkap dan mengeluarkan buaya terbabit dari kawasan tersebut.