Antara tips kecemasan daripada bekas petugas syarikat penerbangan
Bekas Pekerja Airline Kongsi Tips Elak Kecederaan Akibat Gelora Udara Semasa Penerbangan. Negara digempar dengan kejadian tragik di mana pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) mengalami keadaan gelora udara (turbulence) yang teruk sehingga menyebabkan seorang penumpang meninggal dunia pada hari Selasa.
Pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Singapura dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok, Thailand ketika kejadian berlaku.
Dilaporkan seorang penumpang terkorban manakala enam lagi cedera parah, 39 cedera sederhana dan 26 cedera ringan akibat insiden tersebut.
Susulan tragedi tersebut, menurut sumber, seorang bekas petugas syarikat penerbangan negara berkongsi tip keselamatan ketika menaiki pesawat. Beliau menegaskan terdapat beberapa perkara yang perlu dipatuhi semasa berada di dalam pesawat terutama ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.
Pakai tali pinggang keledar
“Sentiasa pakai tali pinggang keledar. Walaupun lampu isyarat tali pinggang keledar telah dimatikan, kemalangan boleh berlaku tanpa diduga kerana turbulence dan gelora udara tidak dapat dijangka.
“Pakai tali keledar sepanjang masa, hanya buka untuk ke tandas atau solat sahaja. Jangan buka tanpa sebab.
Kosongkan perut dan pundi kencing
“Kedua, kosongkan perut dan pundi kencing sebelum terbang jarak jauh supaya mengurangkan keperluan untuk ke tandas dan tidak perlu bangun dari kerusi anda.
Ikut arahan pramugara dan pramugari
“Sila ikut arahan pramugara atau pramugari kerana mereka menghabiskan lebih masa di udara berbanding penumpang. Jika mereka menyuruh duduk, duduk sahaja, jika dikatakan tiada air panas, minum air mineral sahaja.
Sementara itu, sembilan rakyat Malaysia yang menaiki pesawat terbabit kini sedang dirawat di dua hospital di Bangkok, Thailand, menurut laporan. Enam dari mereka di Hospital Samitivej Srinakarin manakala tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.
