Maskot beruang visit Malaysia 2026 jadi viral, lukisan asli atau hasil AI? Ini penjelasan anak pelukis
Tular Maskot Beruang Madu Dipersoal Guna AI, Anak Pelukis Tunjuk Lukisan Realistik Bapanya. Seperti ramai yang sedia maklum, maskot baharu yang berupa beruang matahari untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 baru sahaja dilancarkan. Maskot tersebut dilihat mendapat sambutan hangat dan menjadi bualan dalam kalangan netizen setelah logo dan maskot untuk kempen sebelum ini tidak menepati citarasa orang ramai.
Namun demikian, tidak kurang juga, ada yang masih skeptikal dengan reka bentuk maskot baharu ini. Menerusi laman X, hantaran seorang pengguna mengenai maskot Beruang Matahari untuk kempen Visit Malaysia Tahun 2026 telah menjadi tular. Dalam hantaran tersebut, pengguna berkenaan menanyakan kepastian sama ada maskot tersebut benar-benar karya asli atau hanya sekadar buatan AI (kepintaran buatan).
Hantaran tersebut kemudiannya dibalas oleh seorang lagi pengguna, yang memberitahu bahawa lukisan tersebut bukanlah lukisan AI, sebaliknya adalah lukisan asli bapanya.
Dalam hantaran itu, pengguna tersebut menjelaskan bahawa maskot beruang matahari yang diperkatakan bukanlah hasil ciptaan kecerdasan buatan (AI), tetapi sebaliknya adalah lukisan asli yang dihasilkan oleh ayahnya.
“Hi, ini bukan AI. Ini adalah lukisan asli daripada ayah saya,” tulisnya, berserta bukti imej maskot tersebut.
Walau bagaimapun, pemilik asal hantaran yang mempersoalkan keaslian maskot tersebut seperti tidak berpuas hati apabila anak pelukis tersebut hanya menunjukkan kepingan-kepingan lukisan di atas meja, dengan andaian bahawa itu bukanlah bukti sebenar lukisan tersebut tidak dilukis menggunakan AI. Hal ini membuatkan ramai netizen mula tidak senang dengan sikap pemilik asal hantaran tersebut, yang dikatakan agak keterlaluan.
Penjelasan oleh anak kepada pelukis itu membuktikan bahawa kreativiti manusia masih memainkan peranan besar dalam menghasilkan seni bermakna. Namun, ada juga yang dengan bersikap skeptikal dengan usaha sesama artis seni lukis dengan menganggap hasil lukisan yang tidak dibuktikan dengan proses belakang tabir sebagai hasil janaan AI.
Hakikatnya, ramai netizen yang kagum dengan bakat pakcik ini
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi. Ada yang kagum dengan bakat pelukis berkenaan, manakala ada juga yang mengakui mereka terlalu cepat membuat andaian.
“Bagi mereka yang masih mengatakan ini adalah hasil AI, ayahnya telah menghasilkan pelbagai model dan pose berbeza untuk maskot ini. Bagi saya, itu sudah cukup sebagai bukti bahawa ia adalah lukisan asli. Tuduhan membabi buta seperti ini terhadap lukisan sebenar sebagai AI adalah tabiat toksik dalam komuniti seni,” ujar seorang pengguna X, yang turut menyokong hasil tangan ayah individu tersebut.
Sokongan untuk karya tempatan
Insiden ini bukan sahaja membuka mata ramai tentang pentingnya menghargai dan memelihara bakat seni tempatan, tetapi juga menyedarkan kita tentang cabaran yang dihadapi oleh para seniman dalam era AI sehingga ada seniman yang tidak dapat membezakan hasil seni sebenar dengan hasil seni janaan AI. Dalam dunia yang semakin dipenuhi teknologi, usaha seni seperti ini wajar diiktiraf.
Jadi, lepas ni kalau nampak maskot Beruang Matahari yang comel itu, ingatlah bahawa ia adalah hasil usaha keras seorang pelukis tempatan – bukan AI.
Apa pendapat anda? Adakah maskot ini memenuhi jangkaan sebagai wajah kempen Visit Malaysia 2026? Kongsi pendapat ini di ruangan komen.