Siapa Pernah Cuba Tanam Taugeh Tapi Tumbuh Kurus? Ini Triknya.
Wanita Ini Dedah Tips Penting Buat Taugeh ‘Gemuk’ Dan Berisi Macam Di Kedai. Pernah kah anda mencuba menanam sendiri taugeh di rumah namun hasilnya adalah taugeh yang kurus dan kecil? Rupa-rupanya ada trik penting yang perlu anda ketahui untuk mendapatkan hasil taugeh yang gemuk dan berisi seperti yang anda selalu beli di pasar basah atau kedai sayuran.
Melalui perkongsian pengguna Facebook, Syamimi Syifa, beliau berkongsi tentang cara menanam taugeh sendiri di rumah dengan hasil taugeh yang cantik dan selamat untuk dimakan.
Untuk menghasilkan taugeh sendiri di rumah, perkara utama yang anda perlukan ialah semestinya kacang hijau atau pun kacang hitam.
Ikuti langkah di bawah bagi menghasilkan taugeh yang cantik dan berisi;
1. Rendam kacang hijau atau kacang hitam semalaman menggunakan air suam. Bagi mendapatkan taugeh yang cantik, para peniaga dan pengusaha taugeh kebiasaannya merendam kacang hijau atau hitam ini dengan sedikit campuran hormon Santoso.
Hormon Santoso berfungsi untuk mengawal pertumbuhan akar taugeh sekaligus menggemukkan taugeh anda.
2. Sediakan penapis berlubang bagi memudahkan air lepas keluar semasa proses menyiram.
3. Letakkan kain basah di atas penapis kemudian taburkan kacang yang telah direndam di atas kain basah tadi. Sesudah selesai, tutup kacang tersebut sepenuhnya menggunakan kain yang lain. Kain yang dicadangkan ialah jenis kain seperti kain lampin bayi.
4. Anda boleh mula menyiram kacang anda bermula dari hari pertama sebanyak 3 ke 4 kali sehari, bergantung kepada kesesuaian. Seeloknya letak taugeh anda di tempat yang gelap atau lembap.
5. Ulang rutin siraman sehingga hari keempat atau sehingga anda berpuas hati dengan saiz taugeh anda. Kemudian, siap untuk dituai!
Mudah sahaja kan? Anda sebenarnya boleh menghasilkan makanan anda sendiri di rumah jika anda rajin dan suka mencuba sesuatu yang baru.
Bukan itu sahaja, musim PKP ini tidak menghalang wanita ini menjual tanah campuran serta anak pokok sayuran secara ‘online’ di sekitar Kuching. Bagi anda yang minat menanam, bolehlah usha Facebook beliau.
Malah, beliau sendiri membuat penghantaran terus ke rumah anda. Jika bernasib baik atau berada berdekatan dengan kawasan yang disebutkan, tiada cas penghantaran dikenakan. Wah!
Sama-samalah kita ‘support local’!
Tak tahu nak masak apa? Cuba buat mi belacan ikut resipi ini :