OKU Bukan Halangan Menjelajah Borneo Dengan Kapcai
Wanita OKU Kedah Kongsi Pengalaman Jelajah Solo Borneo Hanya Guna Kapcai. Fazlin Fauzi, seorang wanita berusia 42 tahun dari Kulim, Kedah, membuktikan bahawa keadaan diri yang kelainan upaya bukanlah penghalang untuk mencapai impian besar. Beliau berjaya mengembara secara solo ke Sarawak dan Sabah dengan menunggang motosikal kapcai, sambil membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak pernah menjadi halangan untuk terus maju.
Anak kedua daripada lima adik-beradik ini sudah berjaya menjelajah 38 daerah di Sarawak seorang diri. Bagi Fazlin, kunci kejayaannya terletak pada mentaliti yang positif dan kepercayaan bahawa kekurangan fizikal bukanlah alasan untuk tidak mencuba sesuatu yang baru.

Wanita Ini Buktikan Kelainan Upaya Bukan Halangan Untuk Mengembara Solo Ke Sarawak Dan Sabah
“Kalau kita berfikir kita cacat, kita tidak akan ke mana-mana. Masing-masing ada kekangan dan halangan masing-masing. Jadi, kita harus memanfaatkan setiap kelebihan yang ada — kesihatan, kekuatan, dan keberanian yang Allah berikan,” katanya dengan penuh yakin.
Restu ibu bapanya juga memainkan peranan besar dalam membina keyakinannya untuk mengembara. Menurut Fazlin, keizinan dan kepercayaan ibu bapanya memberikan kekuatan emosi dan fizikal yang amat diperlukan.
“Ibu bapa saya memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk mengembara, dan saya rasa ini perlu dicontohi oleh ibu bapa lain yang mempunyai anak OKU. Ramai ibu bapa yang terlalu risau dan menghalang anak mereka daripada mencuba perkara baru,” tambahnya lagi.
Tahun 2024 sangat istimewa bagi Fazlin kerana pada usia 42 tahun, beliau melihatnya sebagai simbolik kepada keterbalikan tahun 2024. Oleh itu, Fazlin memilih untuk memberikan penghargaan kepada diri sendiri dengan melakukan sesuatu yang bermakna, iaitu pengembaraan ini.
Beliau memulakan perjalanan pada 12 September 2024 dari Teluk Melano, Sarawak, melintasi Lundu, Bau, Kuching, Samarahan, Asajaya, dan akhirnya sampai ke Lawas, berjaya menamatkan lawatan ke 38 daerah dalam tempoh 33 hari. Pengembaraan ini pada asalnya hanya meliputi Sarawak dan Sabah, namun Fazlin sempat juga melawat Brunei selama tiga hari apabila melalui Limbang menuju ke Lawas. Beliau turut merasa bertuah kerana dapat menjejakkan kaki ke Temajuk, Indonesia, dan merancang untuk meneroka Sambas, Kalimantan.
Apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk mengembara sendirian, Fazlin menjelaskan bahawa beliau tidak mahu terlalu bergantung kepada orang lain untuk mencapai impiannya.
“Kadang-kadang kita mengajak orang lain untuk menyertai, tapi bila mereka menolak, kita akan kecewa. Daripada kecewa, lebih baik kita teruskan sendiri. Bila kita mengembara solo, kita bebas untuk berhenti di mana kita suka, mengikut masa dan aktiviti kita sendiri,” jelas Fazlin.
Beliau turut membiayai kos pengembaraan hasil daripada simpanan peribadi dan menganggap setiap perjalanan sebagai satu pengalaman baru yang mengajar pelbagai perkara. Sepanjang perjalanannya, Fazlin berpeluang bertemu ramai kenalan baru yang ramah dan berkongsi cerita serta sejarah tempat yang dilawatinya.
Berani Tetapi Waspada
Fazlin turut berkongsi nasihat kepada mereka yang ingin mencuba pengembaraan solo, terutama di tempat baru. Baginya, seseorang harus sentiasa bersikap berani tetapi tidak terlalu berani hingga mengabaikan keselamatan.
“Konsep saya ketika mengembara adalah jangan takut hingga menjadi penakut, tetapi jangan pula terlalu berani. Sentiasa berwaspada, terutama di tempat-tempat yang kita tidak biasa pergi,” katanya penuh semangat sebelum meneruskan perjalanannya ke Sabah.

