• Cerita Borneo
  • Tempat
  • Aktiviti
  • Event
  • Makan
  • Cerita Borneo
  • Tempat
  • Aktiviti
  • Event
  • Makan
Mulakan Carian
  • Cerita Borneo
  • Tempat
  • Aktiviti
  • Event
  • Makan
Ikuti Kami
  • Polisi Kerahsiaan
  • Terma Dan Syarat
Part Of Borneo Digital
Cerita Borneo

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah

Oleh
Ismail NA
28 Januari 2024
Kongsi
8 Min Bacaan
Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah

Kalau di Sarawak ada tuak, di Sabah kita ada lihing..dan banyak lagi!

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah. Masyarakat di Kepulauan Borneo terutamanya di Sabah dan Sarawak terkenal dengan minuman alkohol mereka. Masing-masing mempunyai minuman alkohol tersendiri. Jika di Sarawak, mereka mempunyai tuak dan burak. Di Sabah, paling terkenal ialah lihing.

Namun, tahukah anda bahawa terdapat banyak lagi jenis minuman alkohol atau arak tradisi Sabah? Dalam artikel kali ini, kami telah senaraikan 5 jenis arak tradisi Sabah untuk menambah pengetahuan am anda tentang budaya masyarakat Sabah. Jum!

1. Lihing

Lihing merupakan minuman alkohol tradisional masyarakat Dusun di Sabah. Ia diperbuat daripada beras pulut dan juga ragi beras yang dipanggil ‘sasad’ dan akan diperam. Tempoh paling minimum untuk memeram lihing adalah selama 3 bulan. Cara pembuatan lihing ini pula berbeza antara satu daerah dan daerah lain di Sabah.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah

Secara tradisinya, beras yang akan digunakan untuk membuat lihing akan dikeringkan di bawah cahaya matahari terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam balang yang telah dibersihkan menggunakan daun pokok jambu batu. Setelah itu, balang tersebut akan ditutup menggunakan daun pisang atau daun pokok terap atau tarap. Seiring dengan perkembangan zaman, daun ini boleh juga diganti dengan menggunakan beg plastik dan gelang getah.

Bagi memastikan roh jahat tidak mengganggu lihing tersebut, biasanya seketul arang atau pisau kecil (Pa’is) diletakkan di atas balang tersebut. Jika lihing ini dibiarkan terbuka lama, ia akan berubah menjadi cuka.

Tak boleh sentuh bahan masam semasa membuat lihing

Lihing ini juga tidak boleh dibuat secara sembarangan tau! Terdapat beberapa pantang larang yang perlu diikuti semasa membuat lihing seperti tidak boleh menyumpah atau bergaduh semasa membuatnya, atau bercakap buruk dan kuat. Pembuat lihing juga tidak boleh menyentuh apa-apa bahan yang masam seperti lemon semasa pembuatan lihing atas sebab kebersihan serta memastikan rasa dan kualiti lihing tidak terjejas.

Lihing boleh diminum dengan cara siopon atau sosopon, iaitu dengan memasukkan straw ke dalam beras dan menambahkan sedikit air ke dalamnya.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Sumber : Daily Express

Kebiasaannya, lihing ini akan dihidang dalam cawan plastik atau buluh yang dipanggil ‘suki’. Hampas beras lihing juga boleh disuling untuk mendapatkan arak beras yang dipanggil montoku atau talak.

*Jenis alkohol : Alkohol sederhana (10-20%)
Sukatan 1 minuman alkohol untuk lihing : 90 ml/3 hirup

2. Montoku/Talak

Berbeza dengan lihing, montoku pula merupakan minuman beralkohol yang telah disuling daripada tapai atau lihing. Minuman ini popular dalam kalangan masyarakat Rungus di Sabah dan kebiasaannya jernih dan tidak berwarna.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Sumber foto : FB Tandarason Resort & Country Club

Hampas beras daripada tapai atau lihing akan dimasak dan wap yang terkumpul akan disalurkan ke dalam bekas. Oleh sebab minuman ini telah disuling, maka kandungan alkohol di dalamnya dipercayai lebih tinggi daripada lihing iaitu sekitar 17% ke 35%.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Proses penyulingan montoku
Sumber : FB Produce Montoku

Di Sarawak, montoku ini lebih kurang sama seperti langkau iaitu minuman alkohol yang disuling daripada air tuak masam atau yang tidak berapa menjadi.

Sinompuru, gelas buluh khas untuk minum montoku
Sumber foto : http://zitieasry.blogspot.com

Masyarakat Sabah sering menghidangkan montoku ini semasa majlis-majlis penting seperi pesta kaamatan, majlis keramaian, tolak bala, majlis perkahwinan bahkan juga majlis pengebumian.

*Jenis alkohol : Alkohol tinggi (melebihi 35%)
Sukatan 1 minuman alkohol untuk lihing : 30 ml/1 hirup

3. Bahar

Bahar ini boleh digelar sebagai todi Sabah. Ia merupakan sejenis minuman alkohol yang dihasilkan daripada nira kelapa yang dicampurkan dengan rosok, cecair daripada kulit kayu sejenis tumbuhan. Rosok ini merupakan bahan penting yang menjadikan air nira tersebut bertukar warna menjadi merah memberi sedikit rasa pahit dan bergas.

Bahar yang berasal dari air nira kelapa.
Sumber foto : Nerja Rob

Terdapat 2 jenis bahar yang tidak asing di Sabah iaitu Bahar Topokan dan Bahar Kiulu. Kebanyakan bahar dihasilkan oleh masyarakat Dusun Lotud di Tuaran. Bahar Topokan dikatakan mempunyai rasa yang agak pahit manakala Bahar Kiulu memiliki rasa masam. Walaupun kedua-dua bahar ini berbeza daripada bahar biasa yang manis, namun baunya ketiga-ketiganya masih serupa.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah

Bahar merupakan minuman alkohol tradisi untuk masyarakat Kadazandusun.

*Jenis alkohol : Alkohol sederhana (10-20%)
Sukatan 1 minuman alkohol untuk lihing : 120 ml/4 hirup

4. Tapai/Tumpung

Untuk pengetahuan anda, tapai atau pun tumpung ini merupakan sejenis minuman yang sama yang berasal daripada etnik Kadazan-Dusun-Murut. Kedua-duanya diperbuat daripada beras dan ragi sasad atau laru. Tapai atau tumpung ini berbeza daripada daripada lihing disebabkan jenis beras yang digunakan – lihing menggunakan beras pulut manakala tapai menggunakan beras perang biasa. Beras yang digunakan untuk membuat tapai hendaklah dimasak terlebih dahulu dan dibiarkan sejuk. Ragi sasad juga hendaklah dijemur selama 1 hari sebelum boleh dikisar dan dicampurkan dengan nasi.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Tumpung dan ragi sasad.
Sumber foto : FB Tumpung/Tapai Chie Ajohn

Ia kemudiannya diperam dalam baldi atau luping untuk menjadi tapai. Minuman ini disebut tumpung jika ia diperam dalam bekas yang lebih kecil seperti botol minuman plastik. Air kosong akan diisi ke dalam tajau atau tumpung dan dihirup menggunakan straw sehingga tiada rasa.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Sumber foto : Twitter
Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Tapai yang sedia diminum.
Sumber foto : SabahEats

Nasi juga boleh digantikan dengan buah-buahan seperti ubi kayu dan nanas.

Secara tradisinya, pembuatan dan meminum tapai ini mempunyai kaitan dengan kepercayaan masyarakat Kadazandusun yang terhadap semangat Bambarayon, iaitu semangat roh yang menjaga tanaman padi dan memastikan tanaman tersebut kekal sihat. Tapai kebiasannya digunakan dalam pelbagai ritual untuk mempersembahkan rasa hormat terhadap roh tersebut.

*Jenis alkohol : Alkohol sederhana (10-20%)
Sukatan 1 minuman alkohol untuk lihing : 90 ml/3 hirup

5. Linutau

Uniknya pembuatan minuman tradisional di Sabah ini adalah kerana tiada satu pun bahan yang tidak digunakan atau dibuang begitu sahaja! Satu lagi contoh ialah minuman linutau yang diperbuat daripada lebihan nasi Tapai. Lebihan nasi ini akan dibungkus di dalam kain dan diperah.

Ia akan mengeluarkan jus cecair putih yang kelihatan seperti susu. Nah! Inilah yang dipanggil sebagai linutau. Cecair ini lebih likat namun memiliki aroma yang lebih kuat dan dikhabarkan memberi lebih kepuasan untuk diminum. Kandungan alkohol di dalam linutau ini dipercayai mencapai sehingga 17%.

Kenali 5 Jenis Arak Tradisional Warisan Masyarakat Sabah
Sumber foto : Youtube Amicom TV

Jenis alkohol dan sukatan minuman beralkohol yang dinyatakan dalam artikel ini adalah berdasarkan Garis Panduan Saringan dan Intervensi Pencegahan dan Pengurangan Kemudaratan Alkohol Kementerian Kesihatan Malaysia.

Walaupun amalan minuman tradisi ini merupakan sebahagian daripada adat dan budaya masyarakat etnik di Sabah dan Sarawak, namun anda digalakkan untuk mengambil minuman beralkohol ini tidak lebih daripada 2 gelas seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengelakkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti Alzheimer, Parkinson, angin ahmar. penyakit jantung kronik, serta diabetes.

Boleh lah cuba cari lepas ini dan ‘aramaiti’ dengan bertanggungjawab, ya!

Kenali juga tuak, minuman tradisional masyarakat Iban di Sarawak :

5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Tuak, Minuman Tradisi Masyarakat Dayak
Adakah Tuak Boleh Jadi Setanding Soju Jika Dijual Secara Komersial?
Kongsi Artikel Ini
Facebook Whatsapp Whatsapp Telegram
Previous Article 5 Fakta Menarik Tentang Udang Geragau Atau Bubuk Sarawak Yang Anda Perlu Tahu 5 Fakta Menarik Tentang Udang Geragau Atau Bubuk Sarawak Yang Anda Perlu Tahu
Next Article Diperdaya Rakan Sertai Pelaburan Kripto ‘Sat Coin’, Pemilik Bistro Di Kuching Lesap RM 370K

Advertorial

Bukan Sekadar Iklan Biasa, Grab Bawa 5 Jenama Ini Terus Ke Rumah Anda Di Pesta Menuai Ini
Cerita Borneo
Ini Cara Mudah Bonding Dengan Anak Anda di Meja Makan Hujung Minggu Ini
Cerita Borneo
GrabCar Saver Solusi Tambang Jimat, Rahsia ‘Survival’ di Bandar Besar di Borneo
Cerita Borneo
Grab Malaysia Hidupkan Tradisi Bai Nian, Santuni Hampir 200 Individu di Rumah Kebajikan Seluruh Negara
Cerita Borneo
Ikuti Kami
A Part Of Borneo Digital
  • Polisi Kerahsiaan
  • Terma Dan Syarat
Welcome Back!

Sign in to your account

Username or Email Address
Password

Lost your password?