Wajib Pergi Jika Anda Sukakan Cabaran Dan Pencinta Alam Semulajadi!
5 Lokasi Eko-Pelancongan Yang Cantik Dan ‘Breathtaking’ Di Kota Belud, Sabah. Eko pelancongan sangat sinonim dengan negeri di bawah bayu, Sabah. Mana tidaknya, negeri ini kaya dengan sumber alam semulajadi yang masih terpelihara dan indah dipandang mata.
Tidak ketinggalan, kawasan terpencil di Kota Belud juga turut memanfaatkan sumber alam ini dengan menjadikannya sebagai destinasi kunjungan pelancong. Lebih-lebih lagi pelancong yang datang dari kawasan bandar yang sentiasa riuh dan sesak, lokasi eko-pelancongan ini tentunya memberi kepuasan dan ketenangan yang diidamkan.
1. Eko Pelancongan Kalangadanku Kg. Nahaba
Bagi anda yang sukakan udara segar dan jauh dari hiruk pikuk bandar, jangan lupa untuk masukkan eko pelancongan Kalangadanku ini ke dalam wishlist anda. Terletak di Kampung Nahaba, Kota Belud, ia menawarkan pelbagai aktiviti alam semulajadi yang menyeronokkan. Antaranya seperti bersantai di tepi sungai, mandi manda, menaiki rakit buluh dan banyak lagi. Selain itu, anda juga boleh berjalan di atas jambatan yang dibina khas merentasi Sungai Wariu dan mengambil gambar OOTD anda berlatar belakangkan keindahan alam di Kampung Nahaba. Anda juga berpeluang untuk bermalam di ‘sulap’ atau pondok kecil yang didirikan di tepi Sungai Wariu.



Lokasi : Kem Paradise, Kampung Nahaba, Jalan Sayap, 89150 Kota Belud, Sabah
Facebook : Eko Pelancongan Kalangadanku Kg. Nahaba
2. Tegudon Tourism Village
Tegudon Tourism Village bukan sahaja terkenal dengan eko-pelancongan tetapi ia juga dikenali sebagai destinasi astro-tourism kerana anda boleh melihat fenomena stargazing dan milky way yang indah pada waktu malam di sini. Ia terletak sejauh 15 km dari pekan Kota Belud. Selain itu, jika anda bercuti ke sini pada musim sawah padi, anda bakal melihat pemandangan yang serba hijau tatkala meniti jambatan merentasi sungai di Tegudon Tourism Village ini. Untuk pemandangan yang lebih breathtaking, cuba lihat pemandangan Gunung Kinabalu dari atas jambatan ini pada awal pagi atau pada waktu senja. Di sini, anda boleh melakukan aktiviti seperti berkhemah, trekking hutan, mendaki dan melihat bintang (stargazing).
Untuk pergi ke sini, anda mempunyai pilihan pengangkutan seperti berikut ;
- Dari Kota Kinabalu – Kota Belud (1 jam 35 minit) : Bas ekspres dari Terminal Bas Jalan Padang, Bandaran Berjaya (Anggaran RM10) / Sewa kereta
- Dari Kota Belud – Tegudon Tourism Village (30 minit) : Teksi / Kereta Sewa







Lokasi : P/S 291 Tegudon, 89158 Kota Belud, Sabah
3. Tambatuon Eco-Village
Gemarkan aktiviti lasak seperti water rafting? Jangan lupa untuk merancang aktiviti lasak anda di Tambatuon Eco-Village ini. Uniknya, water rafting di sini dipanggil sebagai tubing kerana anda bakal menelusuri sungai dengan menggunakan pelampung tayar. Selain itu, anda juga boleh mendaki Gunung Nungkok yang berketinggian 1652 meter dan menyaksikan puncak Akinabalu dari sana. Tambatuon Eco Village ini juga merupakan salah satu port stargazing yang ada di Kota Belud selain Tegudon Tourism Village.







Lokasi : Jalan Tambatuon, 89158 Kota Belud, Sabah
4. Aura Montoria Eco Edu Tourism Kg. Sayap
Aura Montoria Eco Edu Tourism yang terletak di Kampung Sayap, Kota Belud ini pula menawarkan pengalaman eko-pelancongan yang pelbagai. Kunjungan anda ke sini akan disambut dengan aktiviti seperti mendaki trail bertangga di kawasan penanaman getah, melalui kawasan air terjun dan gua serta memasak ala-ala koboi atau hanya menggunakan peralatan asas di camp site. Anda boleh merancang ke sini secara berkumpulan kerana anda memerlukan jurupandu untuk membawa anda melalui trail yang berliku menuju camp site.



Tarikan utama yang ada di sini ialah;
- Batu Mondou (Gung-Gung Cha)
- Gua Mulut (gua yang berbentuk mulut)
- Waig Minorol (kawasan punca air mineral, boleh diminum terus)
- Wasai Minorol
- Wasai ID Gua (gua yang mempunyai air terjun di dalamnya)




Lokasi : Jalan Sayap, 89150 Kota Belud, Sabah
Facebook : Aura Montoria Eko-Edu Tourism Kg Sayap Kota Belud Sabah
5. Polumpung Melangkap View Camp Site
Polumpung Melangkap View Camp Site pula boleh dikatakan sebagai tapak perkhemahan paling lengkap yang anda boleh temui di Kota Belud, Sabah. Di sini, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti termasuklah memanggang, berkhemah, tube rafting di Sungai Panataran, menyalakan unggun api, serta aktiviti riadah yang disediakan oleh pihak camp site. Anda juga tidak perlu risau jika tidak mempunyai peralatan berkhemah kerana anda boleh menyewa peralatan seperti khemah, kerusi, tilam, kelambu, hammock dengan kadar yang berpatutan.
Paling best, Polumpung Melangkap Camp Site View ini juga mempunyai liputan talian walau pun berada di kawasan terpencil. Kemudahan di Polumpung ini sudah cukup memuaskan jika anda merancang untuk melakukan kem atau trip ‘family’ berkumpulan bersama rakan atau keluarga kerana ia dilengkapi dengan dewan, set PA sistem, kedai runcit, LCD dan kelengkapan program yang lain. Wow!





Lokasi : Kg. Melangkap Baru, 89158 Kota Belud, Sabah
Untuk maklumat lanjut mengenai lokasi eko-pelancongan di Kota Belud ini, anda boleh melayari laman Facebook atau Instagram seperti yang tertera pada setiap lokasi. Dah pergi tu, jangan lupa kongsi gambar pula ya?