Pesawat pertama yang dijana dengan bahan api dari Alga
Abang Jo Cipta Sejarah, Terbang Ke Langkawi Naik Pesawat Guna Bahan Api Dari ‘Lumut’. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam mencipta sejarah apabila beliau menaiki sebuah pesawat Latvia airBaltic Airbus A220-300 – pesawat pertama yang dijana dengan bahan api penerbangan mampan alga buatan Sarawak (SAF).
Pesawat itu transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Bangkok dan menuju ke Langkawi ketika Abang Johari berlepas untuk menghadiri Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 2 petang dan penerbangan ke Langkawi mengambil masa dua jam.
Abang Johari menunaikan janjinya untuk menjadi antara penumpang pertama menaiki pesawat menggunakan SAF alga Sarawak.
Mengiringi beliau dalam penerbangan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalannya Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, pengurus besar Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datu Abdul Hadi Abdul Kadir, Pengarah Wilayah Lembaga Penerbangan Awam Malaysia Sarawak Petrus Coupon Lim, Pengerusi bersama MIGHT Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid, presiden dan ketua pegawai eksekutif MIGHT Datuk Dr Mohd Yusoff Sulaiman dan ketua dan ketua pegawai eksekutif unit Airbus/Amic Kan Ern Liew dan ketua pegawai eksekutif SEDC Energy Robert Hardin.
Terbaiklah Premier Sarawak!
Menerusi laporan dari The Borneo Post, Robert menjelaskan bahawa Airbus Corporation telah mengesyorkan pesawat airBaltic untuk pelancaran, kerana Malaysia Airlines dan AirAsia tidak mempunyai model khusus ini.
“Pesawat itu disediakan oleh Airbus kerana tiada seorang pun daripada mereka (syarikat penerbangan Malaysia) mempunyai model khusus ini. Ini adalah kali pertama Airbus A220 mendarat di Asia Tenggara – itulah sebabnya kami bekerjasama dengan Airbus untuk SAF,” katanya.
Minggu lepas, Abang Johari berkata penerbangan itu akan menggunakan sejumlah kecil SAF dan sekiranya ujian ini terbukti berjaya, ia akan memberi laluan kepada kawasan lain di negeri ini untuk menceburi pengeluaran SAF.