Berkuatkuasa sejak 1 Mac 2022, ini adalah prosedur terkini
Adakah Anda Kontak Rapat Positif COVID-19? Ini Prosedur Terkini Kuarantin Bagi Kontak Rapat. Baru-baru ini, terdapat lonjakan kes Covid-19 terutamanya sejak program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 yang dianjurkan pada 24 Februari 2022 lalu. Sudah tentu, peningkatan kes tidak dapat dielakkan. Lagipun, kita sudah pun memasuki fasa endemik Covid-19 dan perlu membiasakan diri untuk hidup bersama virus ini.
Sekiranya anda mendapati bahawa anda adalah kontak rapat kepada seseorang yang positif Covid-19, ketahui apakah prosedur terkini kuarantin yang telah berkuatkuasa sejak 1 Mac 2022 lalu.
Mengikut status vaksinasi Covid-19
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), prosedur terkini tidak lagi melibatkan pengasingan / kuarantin berdasarkan status vaksinasi Covid-19 seseorang. Kontak rapat Covid-19 berusia 18 tahun ke atas yang tidak bergejala dan telah menerima dos penggalak tidak perlu menjalani Perintah Pemantauan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Berikut adalah prosedur yang terkini:
BAGI YANG TIDAK BERGEJALA DAN SUDAH MENERIMA DOS PENGGALAK:
- Dikecualikan daripada arahan HSO.
- Ujian RTK mesti dibuat pada HARI PERTAMA dan KETIGA daripada tarikh akhir terdedah kepada kes positif Covid-19.
- Jika didapati positif, laporkan segera melalui aplikasi MySejahtera.
BAGI YANG BERGEJALA DAN SUDAH MENERIMA DOS PENGGALAK SERTA MEREKA YANG BERGEJALA/TIDAK BERGEJALA DAN LENGKAP VAKSINASI (BELUM MENERIMA DOS PENGGALAK)
- Perlu menjalani HSO selama LIMA HARI.
- Ujian RTK (professional atau kendiri) pada HARI KELIMA. Anda dilepaskan daripada arahan HSO jika keputusan adalah NEGATIF.
- Jika didapati bergejala dalam tempoh 5 hari, laporkan segera melalui aplikasi MySejahtera.
BAGI YANG BERGEJALA/TIDAK BERGEJALA YANG TIDAK LENGKAP ATAU TIDAK MENERIMA VAKSIN
- Perlu menjalani HSO selama TUJUH HARI.
- Ujian RTK mesti dibuat pada HARI KETUJUH. Anda dilepaskan daripada arahan HSO jika keputusan adalah NEGATIF.
- Jika didapati bergejala dalam tempoh 7 hari, laporkan segera melalui aplikasi MySejahtera.