KLIA T2 Jadi Pilihan Utama AirAsia untuk Perkukuh Laluan ke Sabah dan Sarawak
AirAsia Tidak Lagi Beroperasi Di Subang, Pindah Operasi Domestik Ke KLIA T2. Mulai 7 April 2025, AirAsia akan memindahkan operasi domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T2).
Langkah strategik ini diambil bagi mengoptimumkan operasi syarikat penerbangan itu sejajar dengan peningkatan permintaan domestik, di samping meningkatkan pengalaman keseluruhan tetamu mereka.

KLIA T2 dipilih kerana infrastrukturnya lebih bersesuaian
Pertumbuhan ketara sebanyak 16% dari tahun ke tahun untuk laluan popular antara Kuala Lumpur dengan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching mendorong keputusan ini. KLIA T2 dipilih kerana infrastrukturnya lebih bersesuaian bagi menampung peningkatan trafik penumpang, terutamanya pada waktu puncak perjalanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra, pemindahan operasi ke KLIA T2 membolehkan AirAsia mempertingkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan yang disediakan. Beliau turut menjelaskan, meskipun Lapangan Terbang Subang sangat memudahkan penumpang yang menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur, namun pembangunannya untuk pertumbuhan jangka panjang masih memerlukan masa.
Bagi memastikan peralihan ini berjalan lancak tanpa menjejaskan keselesaan tetamu, AirAsia akan terus beroperasi di Lapangan Terbang Subang sepanjang tempoh sibuk Hari Raya Aidilfitri pada tahun tersebut. Pelbagai Pilihan Pemulihan Perkhidmatannya (Service Recovery Options – SRO) juga telah disediakan termasuk pertukaran penerbangan percuma, kredit akaun atau pulangan wang penuh bagi meminimumkan gangguan kepada para tetamu.
Dalam pada itu, AirAsia juga mengadakan rundingan positif bersama konsortium Gateway Development Alliance (GDA) untuk memastikan perpindahan ini sejajar dengan pelan pembangunan infrastruktur dan matlamat jangka panjang sambungan udara negara. KLIA T2 telah membuktikan kemampuannya sebagai hab mega serantau yang utama, dan AirAsia komited untuk memperkukuhkan kehadirannya di situ sebagai syarikat penerbangan dominan.
AirAsia turut menegaskan komitmen mereka terhadap usaha memperkukuhkan lagi sambungan udara Malaysia dan menyokong matlamat penerbangan negara untuk pertumbuhan yang mampan.

