AirAsia Tak Bagi Cas Power Bank Sepanjang Penerbangan Mulai 1 April
AirAsia Perketat Polisi Power Bank Bermula 1 April 2025, Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu. Bermula 1 April 2025, AirAsia akan menguatkuasakan polisi baharu berkaitan penggunaan dan pengecasan power bank dalam semua penerbangan mereka.
Langkah ini selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan antarabangsa bagi mengurangkan risiko insiden berkaitan bateri ketika berada di udara.

Menurut kenyataan rasmi, penumpang hanya dibenarkan membawa power bank yang mempunyai kapasiti tidak melebihi 100 watt-jam (Wh) atau 20,000 milliampere-jam (mAh).
Jika kapasiti power bank berada di antara 100Wh hingga 160Wh, penumpang perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak syarikat penerbangan semasa daftar masuk.
Garis Panduan Keselamatan Penggunaan Power Bank Dalam Pesawat
Berikut adalah beberapa larangan penting yang ditetapkan:
- Power bank tidak boleh digunakan sepanjang penerbangan.
- Power bank tidak boleh digunakan untuk mengecas peranti elektronik mudah alih dalam pesawat.
- Power bank tidak boleh disimpan di ruang atas tempat duduk (overhead compartment).
- Power bank tidak dibenarkan dalam bagasi berdaftar.
- Power bank mesti dibawa ke dalam kabin dan disimpan di dalam poket tempat duduk atau di bawah tempat duduk.
Kenapa Polisi Ini Diperketat?
Bateri lithium-ion yang digunakan dalam power bank boleh menjadi tidak stabil jika dikendalikan secara tidak selamat – berpotensi menyebabkan kepanasan melampau, kebakaran, malah letupan dalam situasi tertentu. Justeru itu, AirAsia mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan penumpang, kru penerbangan dan pesawat sentiasa menjadi keutamaan.
Bagi memastikan pematuhan, pihak AirAsia akan menyediakan paparan peringatan di kaunter daftar masuk, dan juga akan membuat pengumuman semasa menaiki pesawat serta ketika penerbangan berlangsung.
Apa Yang Perlu Dilakukan Penumpang?
Sebelum ke lapangan terbang, pastikan power bank anda mematuhi spesifikasi yang dibenarkan. Jika tidak pasti, penumpang digalakkan untuk berunding dengan petugas AirAsia semasa daftar masuk bagi mengelakkan sebarang masalah atau kelewatan.
AirAsia menghargai kerjasama semua penumpang dalam mematuhi garis panduan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan selesa untuk semua.
Untuk maklumat lanjut mengenai senarai barang yang dilarang dalam bagasi bagi kod penerbangan lain, sila rujuk laman rasmi AirAsia.

