Menteri Sabah Mahu Penjelasan AirAsia Tentang Penggantungan Penerbangan
Menteri Sabah Mahu Penjelasan AirAsia Tentang Penggantungan Penerbangan Antarabangsa. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew akan bertemu dengan AirAsia bagi mendapatkan penjelasan mengenai penggantungan beberapa penerbangan dari Kota Kinabalu ke destinasi luar negara, termasuk China.
Destinasi Yang Terjejas
Destinasi yang terjejas termasuk:
- Kota Kinabalu ke Hong Kong (dikurangkan daripada 10 penerbangan seminggu kepada tujuh penerbangan seminggu berkuat kuasa 30 Mac 2025),
- Kota Kinabalu ke Kaohsiung (penggantungan berkuat kuasa 7 April 2025),
- Kota Kinabalu ke Kunming (penggantungan berkuat kuasa 7 Mei 2025),
- Kota Kinabalu ke Manado (penggantungan berkuat kuasa 7 April 2025),
- Kota Kinabalu ke Ningbo (penggantungan berkuat kuasa 30 Mac 2025), dan
- Kota Kinabalu ke Wuhan (penggantungan berkuat kuasa 7 April 2025).

Liew menyatakan perkara itu kepada media selepas melancarkan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri pelancongan Sabah di Hotel Hilton semalam, menurut laporan media tempatan.
Sektor Pelancongan Sabah Semakin Berkembang
Dalam ucapannya, beliau berkata sektor pelancongan Sabah menunjukkan pemulihan dan pertumbuhan luar biasa sepanjang 2024.
“Sehingga akhir 2024, seramai 3.14 juta pelawat direkodkan datang ke Sabah, melebihi sasaran awal sebanyak tiga juta.
“Peningkatan ketibaan ini menjana kira-kira RM7.28 bilion dalam hasil pelancongan, membuktikan kepentingan sektor ini terhadap ekonomi Sabah.
Liew turut menekankan bahawa kejayaan ini didorong oleh usaha meningkatkan hubungan udara, termasuk kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia dan Royal Brunei Airlines yang membuka lebih banyak laluan penerbangan sama ada secara langsung atau transit.
Sasaran 2025: 3.5 Juta Pelancong
Sabah kini menyasarkan untuk menarik 3.5 juta pelancong pada 2025. AirAsia sahaja telah berkomitmen membawa lima juta penumpang ke Sabah melalui lapangan terbang Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
“Perkembangan ini membuktikan keyakinan yang semakin meningkat terhadap potensi pelancongan Sabah,” katanya.
Beliau juga menegaskan komitmen Sabah Tourism dalam menyelaraskan strategi Pelancongan Budaya, Pengembaraan dan Alam Semula Jadi (CAN) yang menjadi daya tarikan utama Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Antara inisiatif masa depan kami termasuk memperkukuh pelancongan lestari, meningkatkan infrastruktur pelancongan serta memperkasakan pelancongan berasaskan komuniti (CoBT),” katanya.
Sokongan Kerajaan Persekutuan Diperlukan
Beliau turut menyatakan keperluan sokongan berterusan daripada kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelangsungan pembangunan sektor pelancongan Sabah.
“Sokongan daripada agensi persekutuan telah memberi impak besar kepada inisiatif pelancongan kami. Kami amat menghargai pelbagai geran dan insentif yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keaktifan sektor ini.
Antara geran yang banyak membantu adalah:
- Geran Galakan Melancong (GAMELAN)
- Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP)
- Geran Sektor Penerbangan dan Carter (GSPC)
- Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK)
“Geran-geran ini banyak membantu mengukuhkan pelancongan domestik dan antarabangsa di Sabah,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dan Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai.

