Mencari Escape Dari Bandar? Ini adalah destinasi untuk rehatkan diri dari kesibukan di bandar
Aktiviti Santai Di Ranau Sabah Untuk Dikunjungi. Ranau terkenal dengan suasana pekannya yang damai. Kira-kira 2 jam lebih dari Kota Kinabalu, anda tidak akan menemui kesibukkan di sini. Sebaliknya, anda akan terpikat dengan ketenangan Ranau dan sekiranya anda berminat untuk meluangkan masa cuti dengan melakukan aktiviti yang rileks, berikut adalah senarai aktiviti anda boleh cuba di Ranau.
1. Spa Ikan (Fish Spa Bombon Kampung Marakau)

Ingin santai-santai merendam kaki di dalam air sungai sambil menikmati geselan ikan-ikan yang jinak? Terdapat dua kawasan anda boleh kunjung iaitu Bombon Kampung Marakau dengan Tagal Sungai Moroli!
Tagal Sungai Moroli terletak di Kampung Luanti Baru dan spa ikan yang dikhidmatkan merupakan salah satu aktiviti yang ditawarkan oleh Kampung Luanti. Dalam dialek KadazanDusun tempatan, ‘tagal’ bermaksud ‘dilarang memancing’ dan tujuan utama ‘tagal’ adalah untuk memelihara alam sekitar serta ekosistem untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang. Ikan yang ada di dalam sungai Moroli adalah ikan pelian dan secara khusus dilatih oleh penduduk kampung untuk melakukan aktiviti urutan penyembuhan. So interesting! Dikatakan urutan ikan ini mempunyai kesan penyembuhan pada mereka yang mengalami psoriasis.
Fish Spa Bombon Kampung Marakau terletak 10 minit dari pekan Ranau. Di sini tiada had masa untuk meluangkan masa semasa merendam kaki, dari pagi sampai petang pun jadi lah! Yang membezakan lagi spa ikan Bombon Kampung Marakau dengan Tagal Sungai Moroli adalah jenis ikan yang ada di dalam sungai tersebut iaitu ikan koi dan bukan jenis ikan yang makan kulit-kulit mati seperti di Tagal Sungai Moroli. Anda akan terkagum dengan warna ikan koi yang berwarna-warni di dalam sungai jernih itu sambil menikmati keindahan alam semula jadi di sekeliling.
Maklumat penting
Lokasi: Jalan Marakau, Libang Kg Marakau, 89300 Ranau, Sabah
Waktu operasi: 8am-5pm
Nombor telefon: 014-544 8084
2. Kolam Air Panas Poring

Poring terletak 2 jam dari Kota Kinabalu dan nama tempat ini berasal dari perkataan Kadazandusun untuk spesies buluh yang ditemui di sekitar kawasan. Kolam air panas terletak di dataran rendah dan dikelilingi oleh hutan. Dikatakan perendaman dalam kolam air panas yang dipenuhi mineral adalah baik untuk kesihatan dan meningkatkan peredaran darah. Ia juga santai dan salah satu cara yang baik untuk de-stress serta melegakan apa-apa sakit atau kesakitan yang mungkin anda miliki.
Kolam air panas yang bergaya ala-ala Jepun ini terdiri daripada mandian berjubin udara terbuka dengan paip saluran air yang anda boleh isi dengan air tawar dari kolam air panas. Jika anda seorang pemalu, terdapat juga mandian tertutup dalam gazebo-chalet seperti tempat perlindungan yang menawarkan privasi lebih.

Selain berendam dalam kolam air panas, anda sekeluarga pun boleh melakukan aktiviti santai yang lain seperti melawat ladang rama-rama, pusat konservasi orkid, taman tropika, laluan kanopi (dikatakan tertinggi di negeri Sabah), atau melakukan aktiviti trekking. Anda akan menghadapi beberapa flora dan fauna yang menarik seperti bunga terbesar di dunia iaitu bunga rafflesia, serta pelbagai burung, serangga dan monyet liar!
Maklumat penting
Lokasi: 89300 Ranau, Sabah
Waktu operasi: 8am-4pm
Nombor telefon: 014-695 8577
3. Kipungit Waterfall Poring

Terletak 15 minit dari Kolam Air Panas, Poring, air terjun ini merupakan air terjun paling senang diakses di Poring. Kawasan air terjun ini sesuai untuk melakukan aktiviti berenang dan berkelah. Terdapat juga kemudahan seperti jamban dan tempat berkelah sedia ada untuk anda.
Maklumat penting
Lokasi: 89300 Ranau, Sabah
Waktu operasi: 9am-5pm
4. Langanan Waterfall Poring

Juga terletak dalam kawasan Poring tetapi 3.3km dari Kolam Air Panas, anda akan terkagum dengan ketinggian air terjun ini yang setinggi 120 meter! Untuk mendaki ke sini, anda dikehendaki untuk membayar yuran konservasi berjumlah RM3. Bagi tujuan keselamatan, anda tidak dibenarkan untuk pergi ke sini selepas pukul 2pm. Anda juga dicadangkan untuk membawa baju hujan serta bekalan makanan sendiri. Terdapat lintah sepanjang jalan, jadi anda dicadangkan untuk menggunakan stokin anti-lintah. Setelah mendaki beberapa jauh, anda akan memasuki kawasan hutan yang lebih dan sekitarnya tidak menjadi mesra pelancong. Trail hutan ke Langganan agak curam hanya pada awal trek namun setelah sampai ke destinasi, anda akan rasa berbaloi apabila melihat air terjun Langganan yang megah dan indah!
Jangan lupa untuk sign-off di kaunter tiket untuk memaklumkan kepada pihak pengurusan bahawa anda sudah pulang dari air terjun Langganan dengan selamat. Kalau tak, mereka akan betul-betul hantar pasukan penyelamat untuk mencari anda!
5. Tambiau Forest House

Terletak 15 minit dari pekan Ranau, Tambiau Forest House merupakan sebuah lokasi pusat peranginan menarik yang menawarkan kemudahan penginapan dan riadah. Di sini, anda akan menikmati pelbagai kemudahan yang menawarkan pengalaman menarik hidup dalam suasana hutan dengan adanya udara segar dan kehijauan alam semulajadi. Antara kemudahan lain yang disediakan adalah bekalan elektrik dari jam 6 petang hingga 10 malam, kenderaan pengangkutan 4×4 dan rumah di atasa pokok!
Maklumat penting
Lokasi: Jalan Kibbas Mohimboyon Kundasang, 89300 Ranau, Sabah
Waktu operasi: 8am-5pm
Nombor telefon: 012-894 9578

Difahamkan, harga akan berubah mengikut jumlah peserta. Selain itu, sekiranya anda menyertai mana-mana aktiviti hiking ini, anda perlu membawa barang seperti ubat-ubatan sendiri sekira mempunyai masalah kesihatan, baju hujan, tongkat (walking stick), headlamp dan gunakan pakaian sesuai untuk hiking.
6. Paragliding Park Ranau

Langkawi bukan satu-satunya mempunyai aktiviti paragliding, malah di Ranau ada juga aktiviti ini! Oleh kerana Ranau terletak di kawasan yang tinggi iaitu setinggi 1176 meter di atas paras laut, aktiviti paragliding boleh dilakukan di sini juga. Bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti yang lebih ekstrem, anda boleh cuba aktiviti ini untuk merasai dos adrenaline rush!
Maklumat penting
Lokasi: Jln Kompleks Sukan Ranau, 89308 Ranau, Sabah
Waktu operasi: 9am-5pm
Nombor telefon: 013-865 0545
Sesuai Untuk Mereka Yang Minat Aktiviti Outdoor
Sekiranya anda nak melarikan diri dari kesibukkan kehidupan di bandar, Ranau adalah salah satu destinasi yang sesuai untuk anda! Aktiviti-aktiviti yang ditawarkan sesuai dibuat pada hujung minggu, jadi sekiranya anda berada di bandar Kota Kinabalu pada masa seminggu, anda boleh cuba luangkan masa untuk singgah ke sini untuk mencuba aktiviti-aktiviti outdoor ini!