Andy Lau Berjaya Peroleh Pingat Emas dalam Para SUKMA
Andy Lau Sie Hui Pecah Rekod Para SUKMA 2024, Peroleh Emas Kelima Untuk Sarawak. Sarawak kembali mencipta sejarah di Para SUKMA 2024 apabila Andy Lau Sie Hui berjaya memenangi pingat emas dalam acara 1,500m kategori T12 (Kelainan Upaya Penglihatan) lelaki dengan catatan masa rekod baharu lima minit 19.82 saat. Beliau memecahkan rekod terdahulu yang dipegang oleh Ranggong Unggang, juga dari Sarawak, dengan masa 5:20.53 yang dicatatkan pada Para SUKMA 2010.
Muhammad Fahmi Daniel Roslan dari Johor meraih pingat perak, manakala Simon Etam Emang, rakan sepasukan Andy dari Sarawak, membawa pulang pingat gangsa.

Andy Lau Sie Hui Pecah Rekod Para SUKMA
“Saya sangat gembira dan tak sangka akan berjaya melakukan ini. Di Para SUKMA yang lalu, saya memang menang emas untuk acara 1,500m, tapi waktu itu saya tak berada dalam kondisi 100 peratus seperti sekarang,” kata Andy kepada wartawan selepas majlis penyampaian pingat emas di Stadium Sarawak.
Andy, yang telah berada di kem latihan selama lebih sebulan, menyatakan bahawa persediaan fizikal dan mentalnya adalah kunci kepada kejayaan kali ini. Beliau juga merupakan pemenang berbilang pingat emas dalam sukan Para SUKMA sejak mula bertanding pada usia 18 tahun.
“Saya kini berusia 30 tahun. Termasuk kemenangan hari ini, saya telah memenangi kira-kira lima pingat emas di Para Sukma,” katanya dengan penuh rasa bangga.
Sebagai seorang operator telefon di sebuah syarikat pembangunan tenaga, Andy berkongsi tentang cabaran yang dihadapinya dalam mengimbangi kerja dan latihan sukan. Beliau tidak mempunyai keistimewaan sebagai atlet sepenuh masa, jadi beliau terpaksa mencari masa sendiri untuk berlatih.


“Disebabkan penglihatan saya yang terhad dan bukan atlet sepenuh masa, saya bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang; jadi saya perlu cari masa untuk berlatih. Kadang-kadang saya berlatih dalam bilik sendiri atau lakukan larian perlahan di taman. Saya risau terlanggar benda semasa berlari dalam pertandingan,” tambahnya.
Selain acara 1,500m, Andy juga akan menyertai acara 400m dan 800m dalam kejohanan yang sama.
Sementara itu, dalam acara olahraga lain, Sarawak juga berjaya meraih dua pingat gangsa melalui Mohammad Hishamudin Razali dalam kategori 1,500m T36 lelaki dan Leeyendy Jisen Abdullah dalam acara lembing kategori F11 lelaki.

