Pelajar ini juga mempunyai keluarga.
Anggap Keputusan Tak Adil, Pelajar IPT Lancar Petisyen Mansuhkan Pengecualian Pulang Untuk Sarawak. Seperti yang dimaklumkan secara rasmi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pagi tadi, kerajaan telah membenarkan pelajar daripada institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia untuk pulang ke rumah untuk perayaan Raya Aidilfitri KECUALI UNTUK SARAWAK.

Namun demikian, keputusan ini telah menimbulkan kemarahan dan tidak puas hati dalam kalangan pelajar negeri Sarawak kerana keputusan ini dianggap tidak adil. Pelajar berasal dari Sarawak mahupun yang berada di negeri Sarawak juga mempunyai keluarga untuk mereka kembali.
Maka, timbul persoalan tentang diskriminasi terhadap Sarawak dan urusan-urusan yang berkaitan dengannya, seolah-olah negeri ini merupakan satu ‘negara’ yang berlainan dari Malaysia.
“Sarawak masih dalam Malaysia”, ada pelajar yang terkandas hampir satu tahun di negeri orang
Melalui satu petisyen yang dilancarkan oleh Student of Sarawak di platform petisyen Change.org, golongan ini meminta keadilan untuk mereka pulang ke pangkuan keluarga sempena Hari Raya Aidilfitri. Akibat daripada pengumuman mengejutkan daripada KPT ini juga, mereka membangkitkan persoalan tentang kehadiran golongan VVIP seperti menteri yang tidak perlu menjalani kuarantin sedangkan mereka dihalang sepenuhnya daripada pulang beraya.
Bahkan, ada yang terkandas di negeri orang selama hampir satu tahun dan saban hari menunggu berita agar mereka dibenarkan pulang ke rumah dan menjenguk keluarga. Pelajar Sarawak ini juga mempersoalkan keadilan dan seberapa lama lagi mereka perlu menunggu untuk melihat keluarga mereka.
“Kami hanya 2 jam sahaja dari rumah namun tidak masuk akal untuk membuatkan kami terkandas di sini. Kami bukan pelajar di luar negara. Kami berada di Sarawak, iaitu di dalam Malaysia. Apakah justifikasi pengecualian?…Sarawak masih menjadi sebahagian daripada Malaysia, bukan negara yang perlu disisihkan!“
Student of Sarawak via Change.org

Pengecualian berkemungkinan kerana menunggu respon dan pengumuman berasingan daripada JPBNS
Tidak dapat dipastikan sama ada pengecualian ini adalah untuk pelajar Sarawak di Semenanjung atau pelajar di Sarawak atau kedua-duanya sekali. Namun demikian, mengikut pemerhatian dan telahan kami, keputusan di peringkat persekutuan untuk mengecualikan Sarawak berkemungkinan disebabkan menunggu keputusan yang bakal dibuat oleh Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kelak.
Ini bagi mengelakkan kekeliruan sepertimana pengumuman MKN tempoh hari berkenaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut memasukkan Sarawak dalam senarai. Namun perkara tersebut disangkal oleh kerajaan Sarawak menerusi JPBNS dengan mengatakan bahawa Sarawak masih diletakkan di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan hanya melanjutkan tempoh penguatkuasaan seperti sedia kala.
Untuk mendapatkan keputusan yang lebih jelas tentang perkara ini, sama-sama kita nantikan pula maklum balas dan pengumuman daripada pihak JPBNS. Barangkali ada sinar gembira buat pelajar IPT ini.