Beg mini lebih kecil daripada sebutir garam
Bakal Dilelong 19 Jun Ini, Syarikat Ini ‘Release’ Handbag Mini Bersaiz Sebutir Garam. Beg biasanya digunakan untuk menyimpan barang-barang berharga seperti kunci kereta, dompet, dan benda penting lain.
Namun, bagaimana pula jika kita mencipta sebuah beg yang begitu kecil sehingga ia lebih kecil daripada sebutir garam?

Sebuah studio reka bentuk produk berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), MSCHF menghasilkan sebuah beg tangan mini yang hanya boleh dilihat secara jelas menggunakan kanta pembesar, lapor akhbar New York Post kelmarin.
MSCHF mengecilkan beg tote menyerupai beg keluaran jenama mewah, Louis Vuitton, OnTheGo yang bersaiz 35 x 27 x 14 sentimeter menjadi 657 x 222 x 700 mikrometer.

“Kami bekerjasama dengan beberapa syarikat bioteknologi untuk mencipta beg itu menggunakan proses stereolitografi yang biasa digunakan untuk membuat struktur bioteknologi mekanikal yang kecil,” kata MSCHF dalam satu kenyataan.
Beg berwarna hijau berbentuk segi empat tepat itu mempunyai rupa lut sinar yang boleh dilihat di bawah lampu latar mikroskop kerana saiznya lebih kecil berbanding sebutir garam.

Ketua pegawai kreatif MSCHF, Kevin Wiesner membangunkan beg kecil itu untuk menyindir trend pembikinan beg tangan yang kian mengecil.
Beg tangan itu akan dipamerkan di dalam sebuah bekas gel tertutup di bawah mikroskop secara eksklusif dalam satu acara lelongan, Just Phriends yang akan diadakan pada 19 Jun ini.
