Banduan Bintulu Bebas Selepas 15 Tahun
Banduan Bintulu Terima Pengampunan Yang Di-Pertua Negeri Sarawak. Hari terakhir Syawal tahun ini membawa sinar baharu buat seorang banduan lelaki berusia 44 tahun apabila beliau dibebaskan lebih awal dari Pusat Koreksional Bintulu selepas menerima pengampunan daripada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Penjara, Rosoman Abu Bakar @ Che Din, ini merupakan kes pengampunan pertama di Sarawak untuk tahun 2025. Banduan tersebut asalnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selama 30 tahun di bawah Seksyen 6B (1)(a) kerana kesalahan berkaitan dadah.
“Hari ini menjadi detik bersejarah buat Sarawak. Lembaga Pengampunan Negeri sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap prospek yang masih ada harapan untuk membina kehidupan baharu selepas menjalani hukuman,” ujar Rosoman kepada media tempatan semasa upacara pembebasan di Pusat Koreksional Bintulu.

15 Tahun Menebus Kesalahan
Banduan berkenaan sudah menjalani hukuman selama 15 tahun atas kesalahan memiliki dan menanam ganja sebelum rayuannya dipertimbangkan. Beliau melalui beberapa siri permohonan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan, selain tiga kali mengemukakan Penyata Empat Tahun kepada Lembaga Pengampunan Negeri.
Usaha gigih ini akhirnya membuahkan hasil apabila beliau mendapat peluang kedua untuk kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.
Peluang Kedua di Hari Mulia
Pengampunan ini dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Penjara 1995, yang membolehkan banduan tertentu diberi peluang memperbaiki diri dan menjadi insan yang berguna kepada negara.
Rosoman turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak atas keprihatinan dan pertimbangannya, sekali gus membuktikan bahawa sistem keadilan negara ini bukan sahaja menghukum, tetapi juga memberi ruang untuk pemulihan.
Hari ini, bukan sahaja Syawal yang diraikan – tetapi juga sebuah harapan baru buat seorang insan yang diberi peluang kedua dalam hidup.

