Batch pertama ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan (PPP).
Batch Pertama Pegawai KKM Dari Semenanjung Dihantar Khas Guna Pesawat A400M TUDM. Susulan kes pandemik yang semakin meningkat di Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia tempoh hari telah mengarahkan agar mobilisasi pegawai perubatan dilaksanakan bagi membantu sumber tenaga petugas barisan hadapan bagi menangani kes jangkitan.
Seminggu setelah arahan mobilisasi tersebut diumumkan oleh Menteri KKM, sepasukan penolong pegawai perubatan (PPP) telah diterbangkan khas dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sarawak semalam.
Terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan & Putrajaya
Menerusi kumpulan Facebook komuniti Drisa SWK, rombongan pertama ini dihantar menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis A400M dari Pangkalan TUDM Subang menuju ke Pangkalan TUDM Kuching. Untuk makluman anda, pasukan PPP dari Semenanjung (Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya) ini akan ditugaskan di PKRC Kuching, Sarawak.
Sumber : FB Drisa SWK
Menerusi hantaran gambar di halaman tersebut, jelas terpampang kegembiraan di wajah para petugas ini yang sedia membantu para petugas barisan hadapan yang lain di Sarawak.
Hari ini pula, seramai 10 orang PPP terpilih turut diterbangkan dari Kota Kinabalu,Sabah menggunakan pesawat TUDM ke Sarawak untuk tujuan mobilisasi COVID-19.
Untuk pengetahuan anda, pegawai kesihatan yang dimobilisasi ke Sarawak adalah daripada negeri-negeri yang kini mempunyai kes COVID-19 yang rendah. Tenaga kesihatan tambahan adalah sangat diperlukan buat masa ini bagi membantu pegawai sedia ada untuk membuat pengesanan kontak, ujian, dan rawatan di kawasan yang memperlihatkan pertambahan runcing kes jangkitan.
Walaupun kadang kala khabar dan khidmat pasukan petugas barisan hadapan ini tidak diwar-warkan secara meluas di media massa, namun kita haruslah berterima kasih atas dedikasi dan semangat PPP muda yang sanggup membantu negara menangani kes jangkitan walau di mana sahaja.
Selamat datang ke Sarawak dan selamat bertugas diucapkan kepada pegawai KKM! Semoga dengan adanya khidmat mereka, kes di Sarawak dapat ditangani dengan cepat.
