Sambungan Udara Subang–Kuching Kini Lebih Mudah dengan Batik Air
Batik Air Lancar Laluan Subang-Kuching Mulai 28 Julai 2025. Orang Sarawak di Semenanjung, dah tak perlu susah-susah sangat cari tiket flight. Mulai 28 Julai 2025, Batik Air akan lancarkan laluan terus dari Subang ke Kuching – makin senang nak balik kampung, atau cuti-cuti Malaysia gaya Borneo.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin semasa ucapan penggulungan beliau di Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) hari ini. Katanya, laluan baru ni akan tingkatkan lagi sambungan udara antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, yang sememangnya dah mula rancak sejak awal tahun.

Gambar hiasan.
Flight ke Sarawak Memang Tengah ‘Hot’
Dalam suku pertama tahun 2025 saja, sebanyak 37 penerbangan antarabangsa ke Sarawak direkodkan. Bukan tu je, purata 427 penerbangan domestik setiap minggu pun mendarat di bumi kenyalang ini – semua dari negeri-negeri lain di Malaysia termasuk wilayah persekutuan.
Senang cerita, Sarawak memang jadi tumpuan ramai sekarang – bukan saja untuk pelancong, tapi juga warga kerja dan keluarga.
Lapangan Terbang Paling Sibuk? Bukan Miri, Tapi…
Menurut Dato Sri Lee, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mencatat frekuensi penerbangan tertinggi di Sarawak iaitu sebanyak 216 penerbangan seminggu! Diikuti oleh:
- Miri (99 penerbangan)
- Sibu (55)
- Bintulu (45)
- Mulu (7)
- Limbang (3)
- Lawas (2)
Jangan main-main, Kuching bukan sekadar tempat makan kek lapis dan laksa je.
Penerbangan Domestik Dalam Sarawak Pun Power
Untuk penerbangan dalam Sarawak je, terdapat 620 penerbangan seminggu yang sambungkan bandar, pekan, dan kawasan pedalaman. Semua ni termasuklah di bawah program Rural Air Services (RAS) – memang penting untuk rakyat yang tinggal jauh dari pusat bandar.
Menariknya, Miri sebenarnya rekod paling banyak flight RAS – sebanyak 181 penerbangan seminggu, diikuti Kuching (142), Sibu (66), dan Bintulu (40). Menurut laporan media tempatan, yang selebihnya, ke lapangan terbang kecil dan STOLports (Short Take-Off and Landing).
Siapa Jalankan Operasi Penerbangan?
Selain Batik Air, penerbangan ke/di Sarawak ni turut dikendalikan oleh:
- Malaysia Airlines
- AirAsia & AirAsia Indonesia
- Firefly
- MASwings
- Scoot
- Royal Brunei Airlines
Untuk kawasan luar bandar pula, majoritinya dikendalikan oleh AirAsia, Firefly dan MASwings.
Jom plan cuti sekarang – tiket awal, hati pun senang.

