Sisi hidup James Brooke yang tidak diketahui umum
Benarkah Rajah Putih Sarawak, James Brooke Sebenarnya Seorang Gay? Jika anda mempelajari sejarah, pasti anda cukup kenal dengan nama Sir James Brooke, Rajah Putih Sarawak yang pertama. Beliau pada asalnya merupakan seorang pengembara dan pelayar dari England yang kemudian menemui tuahnya di Pulau Borneo.
Walaupun dipuji atas minat dan keprihatinannya terhadap penduduk di Sarawak oleh London, namun ada sisi gelap James Brooke yang menjadi kontroversi dan tabu dalam perbualan sejarah Rajah Sarawak ini iaitu identiti dirinya yang dikatakan seorang homoseksual atau gay.

Kehidupan awal James Brooke
James Brooke merupakan anak kepada Thomas Brooke, iaitu seorang hakim yang kaya di Syarikat Hindia Timur. Walaupun berbangsa Eropah, tetapi James Brooke sebenarnya dilahirkan di Benares, sebuah wilayah India di bawah pemerintahan Eropah. Kini, wilayah tersebut dikenali dengan nama Varanasi di Uttar Pradesh, India.
Beliau dibesarkan dalam suasana persekitaran yang terdiri daripada suri rumah dan wanita, menyebabkan beliau begitu disayangi dan dilayan dengan manja. Bertentangan dengan amalan kebiasaan, James Brooke terus hidup dalam suasana sedemikian dan tidak dihantar ke sekolah untuk menerima pendidikan formal sehingga beliau berusia 12 tahun.

Namun demikian, sewaktu dihantar ke Norwich Grammar School, James sangat membenci sesi persekolahan tersebut sehingga melarikan diri dari sekolah. Beliau kemudiannya tidak lagi hadir ke sekolah. Mendengar berita James yang melarikan diri itu, ibu bapanya yang telah bersara kembali semula ke Bath, England dan menyediakan tutor untuk mengajar James di rumah.
Faktor yang menyebabkan James Brooke hilang ‘minat’ dengan wanita
Ketika usianya mencecah 16 tahun pula, James Brooke telah menerima satu arahan daripada askar Syarikat Hindia Timur dan menikmati waktunya di syarikat itu dengan menyertai aktiviti menembak haiwan, khinzir dan berfoya-foya bertemankan lelaki. Beliau juga pernah terlibat sekejap dalam Perang Burma pada tahun 1825 sebelum cedera parah. Ada yang mengatakan bahawa paru-parunya cedera tetapi ada juga yang mengatakan bahawa bahagian sulitnya cedera dalam peperangan tersebut.
Walaupun kecederaan di bahagian paru-paru lebih meyakinkan dan kedengaran logik, namun teori kecederaan di bahagian sulitnya itu lebih diperakui oleh para penulis biografi James Brooke. Hal tersebut turut menjadi faktor penting mengapa James Brooke tidak menunjukkan minat romantik terhadap wanita.
Malah, perkara ini diakui sendiri oleh Sylvia Leonora atau lebih sinonim dengan gelaran Ranee, isteri kepada pemerintah ketiga dinasti Brooke, Charles Vyner Brooke. Menurut Sylvia, kecederaan yang dialami oleh Brooke ketika Perang Burma telah membantutkan naluri seksnya secara kekal. Ini sekaligus menyangkal plot skrip ‘The White Rajah’ yang ditulis oleh pembikin filem Hollywood, Erroll Flynn, pada sekitar tahun 1930-an yang mengatakan bahawa James Brooke adalah seorang kasanova.

Kalau ikut logik pada zaman dahulu, adalah sangat mustahil untuk seseorang yang berani, budiman Victoria England yang berfikiran kelas tinggi untuk menjadi seorang yang homoseksual.
Oleh sebab itu jugalah, pembikinan filem tentang James Brooke terutama oleh pengarah Hollywood seolah-olah ibarat badi dan berhantu kerana ia tidak pernah menjadi kenyataan walaupun banyak pihak telah berusaha untuk membuat filem biografi berkenaan sejak dari tahun 1930-an lagi.
Namun, filem James Brooke akhirnya berjaya diterbitkan oleh Rob Allyn, pengarah Hollywood dengan nama filem The Edge of the World dan telah mula ditayangkan dalam platform digital sejak bulan Jun 2021.
Penulis biografi terkini James Brooke, Nigel Barley, yakin bahawa James Brooke sangat tertarik dengan lelaki, terutamanya lelaki muda dari kelas bawahan.

Umum mengetahui bahawa James Brooke telah belayar ke timur dunia dan kebetulan menerima khabar pertolongan dari Sultan Brunei untuk membantu menamatkan pemberontakan di Sarawak. Setelah berjaya menamatkan pemberontakan, beliau diberikan hadiah sebagai gabenor wilayah di Sarawak pada tahun 1841 dan kemudian menubuhkan pemerintahan Brooke di Sarawak pada tahun 1842. James Brooke diberikan gelaran Kesatria oleh Ratu England yang membawa gelaran ‘Sir’ pada 1848 dan mengisytiharkan dirinya sebagai pemerintah bebas (tiada pengaruh secara langsung dengan England) di Sarawak.
Teori skandal yang mengaitkan naluri homoseksual James Brooke
1. Luahan romantik dengan Putera Sarawak, Badruddin
Salah satu teori skandal yang mengaitkan James Brooke sebagai seorang homoseksual ataupun biseksual adalah frasa luahannya terhadap kekanda Raja Muda Hashim, Pengiran Badruddin. Dalam satu keratan surat yang berjaya didokumentasikan, James Brooke pernah memberitahu,“my love for him is deeper than anyone I knew (cintaku untuk dia (Badruddin) adalah lebih dalam daripada sesiapa yang pernah aku jumpa),”
2. Hubungan rapatnya dengan pemuda berusia 16 tahun
Pada tahun 1848, James Brooke juga didakwa pernah menjalinkan hubungan dengan seorang pemuda yang baru berusia 16 tahun. Pemuda tersebut adalah Charles (Doddy) T.C. Grant, cucu kepada Earl of Elgin yang ketujuh, golongan bangsawan dari Scotland. Teori mengatakan bahawa Charles membalas cinta James Brooke namun tidak dipastikan sejauh mana benar teori tersebut.
3. Kasih sayang yang mendalam terhadap anak buah lelakinya, Charles
Ronald Hyam dalam bukunya yang bertajuk “Empire and Sexuality, The British Experience” mengatakan bahawa James Brooke sangat mengasihi anak buah lelakinya iaitu Charles Johnson. Charles merupakan anak kepada adik beradik perempuan Brooke dan menjadikan remaja tersebut sebagai protege nya ke Sarawak pada tahun 1840. Anak buahnya ini kemudian menjadi pengganti takhta James Brooke sebagai pemerintah kedua dan terpaksa menukar namanya dari Charles Anthoni Johnson kepada Charles Brooke.

Selain itu, beliau juga telah merekrut ramai protege lelaki muda dari pelbagai tempat. Beliau dikatakan sangat tertarik kepada anak kapal lelaki muda berusia 13 tahun. Pada tahun 1843, beliau mula bersahabat dengan anak buah jauh kepada Bishop of Calcutta, seorang remaja lelaki yang juga berusia 13 tahun.
James Brooke sebenarnya ada anak?
Brooke meninggal dunia sebagai seorang bujang pada 11 Jun 1868 akibat serangan angin ahmar yang telah dihidapinya sejak 10 tahun kebelakangan itu. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan gereja St Leonard’s, perkampungan Sheepstor, Dartmoor di barat England.
Walaupun banyak desas desus yang mengatakan bahawa James Brooke suka dengan jantina sejenis, namun isi kandungan wasiatnya telah menggemparkan keluarga Brooke. Dalam wasiat tersebut, beliau mengakui bahawa beliau memiliki seorang anak tak sah taraf yang bernama Reuben George Walker. Namun, nama ibu atau tarikh lahir Reuben tidak dinyatakan dalam wasiat berkenaan.
Reuben George Walker dibesarkan dalam keluarga Frances Walker di Brighton. Namun, pada tahun 1858, beliau akhirnya menyedari bahawa beliau mempunyai hubungan dengan James Brooke namun hanya mengisytiharkannya secara rasmi di gereja Plumtree, Nottinghamshire. Beliau akhirnya menggunakan nama George Brooke pada usia 40 tahun dan meletakkan Sarawak sebagai tempat kelahirannya.

Sehingga ke hari ini, tiada yang benar-benar tahu sama ada anak tak sah taraf tersebut adalah benar-benar darah daging James Brooke atau sekadar suatu sandaran untuk menutup identiti dirinya yang sebenar.
Walau bagaimanapun, ada yang juga yang mengatakan bahawa pergaulan sedemikian sesama lelaki pada era Viktoria bukanlah sesuatu yang luar biasa dan kebiasaannya hanya hubungan platonik. Walaupun pernah putus tunang di awal kehidupannya dan mempunyai anak tak sah taraf, James Brooke sememangnya sah seorang ‘bujang terlajak’ yang sukakan ‘homo-sosial’ iaitu seseorang yang suka bergaul dengan teman sejenis tanpa adanya perasaan seksual.