Sebuah petisyen telah dilancarkan menggesa agar perintah kuarantin di Sarawak dimansuhkan.
Berat Sebelah Dan Membebankan, Netizen Lancar Petisyen Mansuhkan Kuarantin 14 Hari Ke Sarawak. Seperti yang anda semua sedia maklum, kemasukan ke Sarawak pada ketika ini masih berkuatkuasa sehingga kini. Bagi kebanyakan rakyat, hal ini adalah sesuatu yang menyukarkan mereka walaupun mempunyai urusan penting untuk masuk ke Sarawak.
Susulan itu, menerusi sebuah platform petisyen dalam talian, Change.org, sebuah petisyen telah dilancarkan yang bertujuan menggesa agar arahan kuarantin semasa kemasukan ke Sarawak dimansuhkan.
Arahan kuarantin ini telah dijalankan sejak Mac 2020 iaitu sejak tercetusnya pandemik COVID-19. Walaupun terdapat tempoh di mana arahan ini tidak dikuatkuasakan buat sementara waktu, namun perintah ini kembali dikuatkuasakan semula sejak lebih kurang 7 bulan yang lalu iaitu apabila kadar pandemik di Malaysia kembali meningkat.

Perintah kuarantin menyerlahkan layanan diskriminasi terhadap orang bukan Sarawak
Namun demikian, keadaan ini dilihat semakin membebankan dan bersifat diskriminatif terhadap rakyat bukan Sarawak. Untuk pengetahuan anda, kemasukan ke Sarawak memerlukan anda untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sama ada anda merupakan warga Sarawak mahupun tidak. Sebelum ini, langkah lebih ketat dikuatkuasakan iaitu dengan mengenakan ujian calitan rt-PCR, 3 hari sebelum penerbangan ke Sarawak yang menelan belanja sekurang-kurangnya RM 150 dan ke atas untuk seorang. Sekarang, langkah tersebut telah dimansuhkan dan tinggal hanya arahan kuarantin 14 hari.
Petisyen tersebut juga menyebut bahawa kebanyakan warga kerja sama ada kakitangan kerajaan mahupun pekerja dalam sektor swasta di Sarawak bukan sahaja terdiri daripada warga Sarawak tetapi juga warga bukan Sarawak. Malah, ada yang telah terpisah dari keluarga selama bertahun lamanya sejak tercetusnya pandemik kerana tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga. Begitu juga dengan rakyat Sarawak yang mencari rezeki di Semenanjung dan Sabah yang telah terpisah dengan keluarga mereka di tanah air.
Situasi ini telah menyebabkan kebanyakan keluarga yang terlibat dengan situasi ini mengalami tekanan mental, kemurungan dan tekanan hidup melampau. Keluarga telah terpisah sekian lama. Anak-anak pula berjauhan daripada ibu bapa dan kontak orang yang tersayang.
Petisyen ini juga sebagai sebuah rayuan kepada kerajaan Sarawak untuk melonggarkan arahan kuarantin ini dan membenarkan individu yang bekerja di Sarawak untuk pulang ke rumah dan kembali bekerja atau pulang ke Sarawak tanpa perlu menjalani kuarantin.
Setakat artikel ini ditulis, petisyen ini telah menerima sebanyak 1,242 tandatangan daripada sasaran 1,500 tandatangan.
Netizen kecewa dengan situasi sukar yang dihadapi mereka
Menerjah ke ruang alasan untuk penandatangan pula, kebanyakan respon yang diterima menunjukkan kekecewaan netizen terhadap situasi sukar yang dialami mereka akibat perintah kuarantin tersebut. Malah, mereka merasa seperti menerima layanan tidak setimpal dan berlaku diskriminasi di Bumi Kenyalang kerana dikenakan bayaran yang membebankan untuk perintah kuarantin. Bukan itu sahaja, orang luar Sarawak juga merasakan bahawa mereka dilayan seperti orang luar sedangkan masih sama-sama berstatus kerakyatan Malaysia.

“Kita semua warga MALAYSIA, mengapa perlu peraturan lain yang menyatakan bahawa warga BUKAN SARAWAK perlu membayar yuran kuarantin? Tambahan pula, kami dihantar oleh kerajaan persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk berkhidmat kepada masyarakat di sana (Sarawak). Tiada penghargaan langsung untuk kami yang datang dari jauh semata-mata untuk berkhidmat kepada masyarakat di sana.
Kami sangat kecewa dengan peraturan yang dibuat oleh Kerajaan Sarawak. Saya dapat melihat slogan ‘Sarawak for Sarawakians’ di mana-mana di dalam negeri ini. Saya tertanya-tanya, mengapa tidak rakyat Sarawak sahaja disuruh untuk berkhidmat di sana? Biar saya beri peringatan kepada semua pembuat polisi di luar sana, slogan yang sebetulnya adalah ‘Malaysia for Malaysians’.”
Netizen

“Sudah penat dilayan seperti orang luar di negara sendiri. Kami mempunyai keluarga dan kami merindui mereka juga. Kami bekerja untuk komuniti tetapi sebaliknya kami dilayan seperti orang luar. Banyak cara untuk mengawal situasi ini. Ini bukan salah satu daripadanya.
Harap SDMC melihat perkara ini dengan lebih mendalam dan mencari alternatif lain untuk menyokong ekonomi anda berbanding dengan hanya mengenakan bayaran kepada mereka yang ingin pulang ke rumah berjumpa dengan keluarga,”
Netizen




Kerajaan Sarawak perlu cari langkah preventif yang lebih adil dan sesuai dengan situasi semasa
Sudah setahun pandemik ini menjejaskan kehidupan kita. Selain dari langkah preventif kuarantin, kerajaan Sarawak seharusnya mengambil langkah yang lebih adaptif, saksama dan sesuai dengan keadaan semasa. Kini, kebanyakan sektor ekonomi telah pun dibuka namun perintah kuarantin ini telah menyukarkan urusan keluar masuk untuk urusan penting ke Sarawak. Sebaliknya, SOP dan penguatkuasaan di dalam negeri Sarawak sendiri sepatutnya diperketatkan kerana penularan sudah berada dalam komuniti dan bukan semata-mata dari luar.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang petisyen ini, anda boleh melayari pautan berikut : https://bit.ly/3cQ8Q04