Hari pertama Borneo Sonic Music Festival 2024
Persembahan Artis Tempatan Dan Antarabangsa Di BSMF 2024 Tarik 10,000 Peminat Pada Hari Pertama. Dilaporkan hari pertama Borneo Sonic Music Festival (BSMF) 2024 berjaya menarik sekitar 10,000 peminat muzik dari seluruh Malaysia dan negara jiran.
Festival kali ini memukau penonton dengan pelbagai persembahan hebat daripada artis tanah air dan antarabangsa.

BSMF buka tirai dengan persembahan artis tempatan
BSMF membuka tirai dengan persembahan artis tempatan, Thomas Kok, yang membawakan lagu “Silence” nyanyian Jay Chou. Selain Thomas, artis tempatan lain seperti Namewee dan Priscilla Abby turut menghangatkan suasana dengan persembahan mereka.
Kemeriahan festival diteruskan dengan penampilan artis antarabangsa, termasuk kumpulan 4EVE dari Thailand, Junny, Yeon Seobin, dan DJ Ujoo dari Korea Selatan, serta penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari.

Rain dan Youngjae memeriahkan lagi BSMF
Bintang K-Pop seperti Rain dan Youngjae juga tampil membuat persembahan, memeriahkan lagi acara hari pertama.
Festival yang berlangsung selama dua hari, dari 11 hingga 12 Oktober, ini adalah kali kedua BSMF diadakan. Hari kedua dijangka lebih meriah dengan persembahan sulung selebriti Korea Selatan, Jessi, di Kuching, di samping penampilan Yuna, yang kali terakhir membuat persembahan di Kuching pada tahun 2012.

