Orang Miri dah pernah cuba naik tak Bukit Kasut ni?
Bukit Kasut Di Miri Ini Hidden Gem Untuk Penggemar Hiking. Selain terkenal dengan bandaraya peranginan, Miri juga mempunyai kawasan alam semulajadi yang melengkapkan lagi pakej tersebut. Di sini, terdapat sebuah lokasi pendakian yang sesuai untuk dicuba oleh pendaki tahap sederhana dan susah.
Bukit Kasut, merupakan sebuah bukit yang terletak dalam kawasan Taman Negara Niah, Miri. Untuk ke sini, pendaki perlu masuk ke pintu utama Taman Negara Niah dengan bayaran lazim untuk pelawat. Anda perlu menyeberangi sungai dan menyeberangi bot dengan jarak tidak sampai 1 minit. Kemudian, anda harus berjalan masuk ke dalam trail hutan sehinggalah anda menemui sebuah papan tanda menyatakan arah trail Bukit Kasut yang berkongsi dengan Trail Madu.

11 kilometer ulang alik, 6 jam perjalanan dua hala
Jarak perjalanan ke Bukit Kasut ini adalah sekitar 11 kilometer ulang alik dan mengambil masa selama lebih kurang 6 jam perjalanan dua hala. Anda perlu melalui jalan mendatar Trail Madu terlebih dahulu sejauh 3 km sebelum tiba ke Trail Bukit Kasut. Pendaki yang berhasrat ke sini juga dinasihatkan untuk melakukan aktiviti regangan dan mempunyai tahap kecergasan yang baik kerana trailnya agak curam dan sukar.
Di sepanjang perjalanan masuk ke trail ini, anda akan menemui banyak flora dan fauna yang terpelihara. Tidak kurang juga struktur batuan yang telah wujud sejak beribu tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, trail ini sedikit becak. Jadi, nak tak nak, anda harus menggunakan kasut dan pakaian yang sesuai. Kalau pakai kasut adidas kampung pun, cun juga!
Setelah melalui perjalanan selama lebih kurang 45 minit (3 kilometer) yang santai, anda bakal diuji dengan trail bertangga dan bertali Bukit Kasut di kawasan hutan kerangas di Batu Niah. Secara keseluruhannya, terdapat tangga kayu yang curam serta 5 tangga besi yang perlu anda lalui untuk mencapai puncak Bukit Kasut ini. Tangga yang paling panjang adalah berdekatan dengan puncak, diikuti oleh tangga pendek. Selain itu, anda juga perlu mendaki menggunakan tali untuk mengharungi kawasan batuan batu kapur.





Walaupun perjalanannya menguji mental dan fizikal, namun pemandangan di atasnya memang berbaloi-baloi! Di puncak Bukit Kasut ini, anda akan dapat melihat pemandangan Pekan Batu Niah. Anda juga akan dapat melihat pemandangan kanopi hutan hujan tropika dan struktur batu kapur yang tinggi diselaputi oleh pokok dan tumbuhan hijau.
Percaya atau tidak, elevation gain bukit ini hanyalah 581 meter. Walaupun tidak begitu tinggi, namun jalannya yang becak, struktur batu kapur yang curam dan sempit menyebabkan pendakian ini sedikit tricky. Tapi kalau dah mendaki dengan geng keras, tak terasa lah semua ni!
Ikuti pengalaman salah seorang pendaki, Alect Razali Alezander yang berkongsikan perjalanannya di laman Facebook.
Amacam? Onz tak hujung minggu ini? Jom terokai Bukit Kasut, Miri!