Aksi curi terang-terangan, bungkus 3 beg tangan dalam plastik hitam di Sabah
Bungkus Dalam Plastik Hitam, Lelaki Selamba Curi 3 Beg Tangan Di Tawau. Satu kejadian mencuri secara terbuka telah berlaku di sebuah kedai pembekal peralatan keselamatan di Tawau, Sabah pada hari Ahad.
Menerusi satu hantaran video dari kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik di Facebook 8hannels menunjukkan seorang lelaki berpakaian baju biru disyaki mencuri beberapa buah beg tangan wanita yang dipamerkan di luar kedai tersebut.

Lelaki itu pada mulanya memerhati persekitaran sebelum dengan pantas mengeluarkan sebungkus plastik hitam.
Dia kemudian memasukkan beg-beg tangan itu ke dalam plastik dan berlalu meninggalkan lokasi kejadian seolah-olah tiada apa yang berlaku. Tindakannya tidak disedari oleh orang awam mahupun pemilik kedai.
Menurut laporan, pemilik kedai itu memberitahu bahawa mereka memberi tempoh 24 jam kepada suspek untuk memulangkan barang tersebut. Sekiranya gagal, pemilik kedai akan membuat laporan polis.
Nilai kerugian sebanyak RM495
Difahamkan, anggaran kerugian kedai tersebut adalah sebanyak RM495 kerana setiap beg tangan yang dicuri berharga RM165.
“Dia curi tiga beg yang kami letakkan di luar sementara menunggu pekerja kami untuk dibawa ke booth perniagaan berhampiran. Kami tidak sangka perkara ini akan berlaku, musim perayaan ini memang perlu lebih berhati-hati,” ujar pemilik kedai tersebut.
Setakat ini, tiada lagi kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa mengenai kejadian tersebut.
