Catatan Ke Kuala Selangor Dari Kaca Mata Anak Sarawak. Mana orang Sabah dan Sarawak yang belum sampai lagi ke Kuala Selangor? Sila angkat tangan anda. Mesti anda tertanya-tanya, kenapa Kuala Selangor? Ada tempat best ke kat sana? Macam jarang dengar.
Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, kami diundang khas oleh Tourism Malaysia untuk melawat ke beberapa destinasi menarik di Kuala Selangor.
Rumah Kartun & Komik Malaysia, Kuala Lumpur
Sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur, kami dibawa ke Rumah Kartun dan Komik Kuala Lumpur. Rumah ini terletak di Taman Botani Perdana Kuala Lumpur. Ia menempatkan koleksi kartun-kartun, karikatur serta komik daripada kartunis tempatan sejak zaman awal perkembangan kartun di Malaysia pada sekitar tahun 1930-an sehingga kini.
Kalau anda masih ingat majalah Gila-Gila dan Ujang, semua keluarannya termasuk edisi pertama pada tahun 1978 dipamerkan di sini! KLMJ kan?
Selain itu, anda juga boleh mengetahui sejarah kartunis tempatan seperti Dato’ Lat, Ujang, Rasyid Asmawi dan banyak lagi. Rupa-rupanya, kebanyakan kartunis ini sebenarnya merupakan pelukis profesional dan turut menghasilkan papan cerita untuk filem dan drama. Menurut ketua kurator di sini, pameran di rumah kartun ini akan ditukar setiap 3 bulan dan akan digantikan dengan hasil kartun yang berbeza pula. Rumah kartun yang dibuka pada 2017 ini juga turut menjual keluaran komik popular tempatan seperti Gila-Gila dan Gempak Starz.
Minat melukis kartun? Kalau anda ingin mempelajari seni lukisan kartun dan komik, anda boleh datang ke bengkel dan kelas yang diadakan di sini. Paling best, masuk percuma saja!
Restoran Rebung
Selesai di Rumah Komik & Kartun Kuala Lumpur, kami dibawa makan tengah hari di restoran yang berada di seberang nya iaitu Restoran Rebung. Kepada yang tidak mengenali Restoran Rebung, restoran ini merupakan restoran makanan Melayu yang dimiliki oleh chef selebriti, Dato’ Chef Ismail Ahmad bersama angkasawan negara, Dato’ Dr. Syeikh Muszaphar Shukor.
Restoran ini boleh dikatakan restoran ‘fine dining’ yang menyajikan aneka masakan Melayu seperti lauk masak lemak, sambal, ulam-ulaman, kuih-muih serta menu mi dan nasi serta hidangan pencuci mulut. Kalau nak makan di sini, anda tidak boleh segan silu sebab restoran ini berkonsepkan layan diri dan makanan dihidangkan ala-ala buffet style. Harga buffet pula berbeza mengikut masa.
Dekorasi dalaman restoran ini memang mencerminkan budaya Melayu dan setiap bilik jamuan dinamakan mengikut warna dinding. Pokoknya, restoran ini mempunyai vibe ceria yang boleh mengangkat selera makan anda.
Sky Mirror Kuala Selangor
Ini pula merupakan tarikan terbaru di Kuala Selangor iaitu Sky Mirror. Pada mulanya, kami beranggapan bahawa Sky Mirror ini adalah kawasan tepian pantai pada waktu air pasang. Namun, rupa-rupanya jangkaan kami meleset. Sky Mirror ini sebenarnya merupakan sebuah kawasan berpasir di tengah laut Selat Melaka yang hanya boleh dikunjungi dua kali sebulan iaitu ketika bulan baru dan bulan penuh. Selain daripada waktu ini, kawasan Sky Mirror ini akan tenggelam di bawah laut akibat air pasang dan tidak kelihatan sama sekali.
Kawasan ini juga digelar ‘Salar De Uyuni’ versi Malaysia. Untuk pengetahuan anda, ‘Salar De Uyuni’ yang terletak di Bolivia merupakan salt flat yang terbesar di dunia dan dapat memantulkan imej manusia yang berjalan di atasnya.
Untuk ke sini, para pengunjung perlu menggunakan bot yang disediakan khas oleh operator Sky Mirror selama 30 minit. Sepanjang perjalanan, anda boleh melihat pelbagai hidupan liar yang tinggal berhampiran kawasan paya seperti monyet, bangau dan memerang. Bayaran masuk adalah seperti berikut;
Warganegara Malaysia
Dewasa : RM80
Kanak-kanak : RM60
Bukan Warganegara
Dewasa : RM120
Kanak-kanak : RM100
Apa yang boleh anda lakukan di Sky Mirror? Ambil gambar puas-puas. Nak lagi cantik, minta bantuan operator Sky Mirror. Setibanya di sana, tugas mereka adalah menjadi jurugambar anda.
Homestay Sungai Sireh, Tanjung Karang
Perjalanan kami diteruskan ke Homestay Sungai Sireh, Tanjung Karang, Kuala Selangor. Jika anda berkunjung ke sini, lebih syok jika anda datang secara berkumpulan. Aktiviti yang dirancang oleh tuan rumah juga kebanyakannya merupakan aktiviti kampung seperti memancing, menanam padi, meronda sekeliling kampung, melihat tanaman herba dan banyak lagi. Aktiviti lasak seperti berkayak pun ada.
Ketibaan kami di sana disambut dengan hidangan makan tengah hari yang enak. Kemudian, aktiviti pertama yang kami lakukan ialah mewarna blok batik. Rupanya mewarna batik tidaklah sesusah mana. Asalkan anda tahu gabungan warna yang cantik, jadilah batik karya agung anda. Batik yang diwarnakan sendiri ini dijadikan sebagai buah tangan untuk dibawa pulang.
Selain itu, kami juga dibawa ke rumah tradisional Melayu, meronda ke taman herba sekitar rumah, minum air kelapa, memancing, menanam padi, melawat bendang dan menggagau ikan di dalam kolam. Macam-macam gelagat yang kami lihat. Terasa vibe kampung yang seronok dan meriah. Kami merasakan bahawa pemandangan hijau bendang ini nampak betul-betul real di Kuala Selangor. Kalau di Sarawak, ia merupakan sesuatu yang rare kerana kebanyakan bendang hanya diusahakan secara kecil-kecilan.
Restoran Aroma Ikan Bakar
Restoran Aroma Ikan Bakar yang terletak di Jeram, Kuala Selangor pula benar-benar membangkitkan selera makan. Apa yang istimewa di sini? Dah tentulah menu ikan bakarnya yang pelbagai. Antara menu yang dihidangkan kepada kami ialah nasi, udang masak butter, sotong goreng tempura, ikan bakar dan sup. Perggh, memang kenyang dibuatnya.
Tempat ini agak luas. Jadi, anda boleh memilih untuk makan di ruangan yang sesuai dengan kunjungan anda. Ada ruang open air, ada juga ruang seakan-akan dewan terbuka dan ada juga pondok-pondok sederhana untuk lebih vibe padu semasa menikmati hidangan ikan bakar.
Walaupun agak memenatkan, namun perjalanan kami ke Kuala Selangor agak berbaloi kerana pengalaman yang dirasai hanya ada di sana. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negeri di seberang laut ini mempunyai kedai yang sama, namun vibe nya sungguh berbeza. Apatah lagi dikelilingi oleh masyarakat yang berbeza tutur bahasa. Namun demikian, setiap tempat mempunyai tarikannya yang tersendiri. Sekarang, apa yang perlu anda lakukan ialah explore dan rasai sendiri keindahan negara kita, Malaysia.
#VisitMalaysia2020 #VM2020 #MalaysiaTrulyAsia #CutiCutiMalaysia #tourismmalaysia #MYtravelmediabuddy