Kisah Inspirasi Buat Generasi Guru Baru di Sarawak yang Menolak Penempatan
Cikgu Emmet Kongsi Kenangan Manis Posting Di Pedalaman, Renungan Buat Generasi Guru Baru. Sebuah hantaran Facebook yang penuh nostalgia daripada seorang guru berpengalaman, Cikgu Emmet, kini tular di media sosial.
Dengan lebih 200 perkongsian dan ratusan komen, kisahnya tentang pengalaman mengajar di pedalaman Sarawak pada tahun 1995 bukan sahaja menyentuh hati ramai, tetapi turut mengundang perbincangan hangat mengenai cabaran dan sikap generasi guru masa kini. Hal ini susulan timbul isu baru-baru ini dimana guru-guru baharu yang segelintirnya merupakan anak Sarawak sendiri yang menolak penempatan ke sekolah-sekolah pedalaman dan jauh dari rumah.

Zaman Susah Tapi Indah
Dalam perkongsiannya, Cikgu Emmet mengenang detik-detik awal ketika menerima surat penempatan di SK Lichok, Roban, sebuah sekolah yang terletak kira-kira 30km dari Saratok. Bayangkan, ketika itu Pan Borneo Highway belum wujud, jalan ke Kabong masih bertanah merah, dan perjalanan dari Kuching ke Saratok dengan bas memakan masa hampir lapan jam kerana banyak hentian.
“Bayangkan nak baca Utusan Malaysia atau Berita Harian, kena tunggu sehari dua. Basikal di pekan pun ada nombor plet MDS!” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Keadaan pekan Saratok waktu itu juga cukup sederhana. Hanya terdapat dua buah bank, iaitu Wah Tat Bank dan Bank Simpanan Nasional. Malah, restoran makanan segera pertama, Sugarbun, hanya dibuka pada tahun 1997 bersebelahan Victoria Inn.
Hidup Seronok dan Indah, Tak Terasa Seperti Perantau
Lebih menarik, pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke SK Lichok meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan. Pada hari Sabtu, bersama dua rakannya, Cikgu Mahrup Enggi dan Cikgu Assagaf, beliau tiba di sekolah untuk meninjau keadaan. Tidak disangka, mereka disambut oleh seorang lelaki tua Iban yang tidak berbaju, hanya berseluar pendek, sambil memegang parang ilang dan menebas lalang di padang sekolah.
“Saya fikir dia tukang kebun sekolah, rupanya dia adalah PK Pentadbiran, Cikgu Anji anak Enggang (mendiang). Betapa rendah dirinya para pendidik di sini!”
Kehangatan sambutan tidak terhenti di situ. Kehidupan sebagai guru perantau di sekolah itu terasa begitu akrab dan mesra. Mereka bukan sekadar rakan sekerja, tetapi seperti keluarga sendiri. Bersama Guru Besar Juliana Bedus, PK1 Anji, PK HEM Patrick Kudang (mendiang), PK Kokurikulum Jackson Gadoh, serta guru-guru lain seperti Cikgu Lawrence, Cikgu Safiah, Cikgu Haminah, Cikgu Anuar Kapok dan isterinya, mereka membina ikatan persaudaraan yang erat.

Malah, makanan juga memainkan peranan besar dalam membentuk kenangan manis. Cikgu Emmet berpeluang menikmati pelbagai buah eksotik tempatan seperti dabai, pelajo, engkalak, dan embang, yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Tukang masak sekolah, Aunty Annie, turut memainkan peranan dalam memastikan guru-guru tidak pernah merasa lapar.
“Hidup di sana sebagai perantau tidak terasa. Seronok dan indah sekali.”
Namun, apa yang paling menyentuh hati adalah penerimaan masyarakat terhadapnya. Beliau yang berasal dari Semenanjung tidak pernah merasa terasing, sebaliknya dilayan seperti ahli keluarga sendiri oleh rakan-rakan sekerja dan penduduk tempatan.
“Guru-guru umpama adik-beradik. Saya diajar makan buah tempatan seperti dabai, pelajo, engkalak dan embang. Hidup sebagai perantau tak terasa.”
Guru Zaman Dulu Lebih Terbuka Terima Cabaran Berbanding Guru Sekarang
Namun, nostalgia ini turut disulami dengan kekecewaan terhadap sikap sesetengah guru muda hari ini yang enggan menerima penempatan di pedalaman. Menurutnya, ramai guru ambilan khas Sarawak menolak tawaran ke kawasan seperti Baram dan Belaga, hanya kerana alasan “terlalu jauh dari keluarga” atau lebih mengejutkan, kerana “tiada KFC”.
“Lemah sungguh jiwa anda,” luahnya.
Sebagai seorang yang pernah melalui pengalaman mengajar di kawasan terpencil, Cikgu Emmet menegaskan bahawa pengalaman pertama mengajar di pedalaman bukan satu hukuman, tetapi satu anugerah. Baginya, setiap guru harus melihat cabaran ini sebagai peluang membina kenangan dan legasi.
Ibarat Rampas Hak Orang Lain yang Ingin Menjadi Guru – Netizen
Hantaran ini mengundang pelbagai reaksi dari netizen, terutamanya dalam kalangan guru dan bekas pendidik. Ramai yang bersetuju bahawa guru-guru dahulu lebih berjiwa besar dan menerima cabaran tanpa banyak rungutan.



Tidak kurang juga yang menceritakan pengalaman masing-masing atau ahli keluarga yang pernah menjadi pendidik di sekolah pedalaman dan terpencil. Kebanyakannya mempunyai memori indah yang boleh dikongsi sebagai pedoman dan inspirasi.
Apa pun, kisah Cikgu Emmet ini jelas membuktikan bahawa menjadi seorang pendidik bukan sekadar mengajar, tetapi juga tentang memberi dan berbakti.
Persoalannya sekarang, adakah generasi guru hari ini masih memiliki semangat yang sama?

