Apa perasaan anda kalau tengok Spiderman sambut anda depan pagar sekolah?
Berubah Jadi Spiderman, Cikgu Pedalaman Sarawak Ini Buat Kejutan Sambut Pelajar Ke Sekolah. Seperti yang anda semua sedia maklum, sekolah-sekolah di seluruh Malaysia kembali dibuka bermula awal bulan ini. Namun demikian, setelah lama tidak bersekolah, pasti ada pelajar sekolah terutamanya pelajar sekolah rendah yang sukar untuk dipujuk dan mempunyai kerenah masing-masing. Maklumlah, pelajar yang mula bersekolah minggu ini adalah pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 sahaja.
Drama di pagi hari lah katakan.
Tapi, seorang guru di sebuah sekolah pedalaman di Sarawak ini berjaya mencipta kejutan unik buat para pelajar di sekolahnya. Siapa sangka seorang guru boleh bertukar menjadi seorang adiwira ‘Superman’ semata-mata untuk menggembirakan pelajar yang kembali hadir ke sekolah.

Sumber : FB Muhamad Tarmizi
Kehadiran Spiderman buat para pelajar teruja sepanjang hari
Seramai 31 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan Kut, Pulau Bruit, Daro pada pagi tadi telah dikejutkan dengan Spiderman yang menyambut kedatangan mereka di hadapan pagar sekolah. Kehadiran adiwira tersebut telah menyebabkan suasana sekolah menjadi meriah dan para pelajar nyata sangat gembira dengan kehadiran Spiderman tersebut tanpa mengetahui siapakah gerangan di sebalik kostum tersebut. Cara tersebut dilihat berkesan memandangkan tiada murid yang memberontak dan berasa susah hati untuk ke sekolah.
Menurut Muhamad Tarmizi Awang @ Yaacob yang merupakan guru di sebalik kostum tersebut, beliau telah berada di pekarangan sejak awal pagi lagi. Beliau telah merancang pelan ini sejak PKP bagi menaikkan semangat dan mood para pelajarnya yang sudah lama tidak bersekolah. Dengan perancangan tersebut, guru ini kemudiannya membeli kostum adiwira Spiderman di laman membeli belah dalam talian Shopee. Beliau juga tidak kisah berhabis wang untuk membeli kelengkapan untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran asalkan pelajarnya dapat belajar dengan gembira dan selesa.

Menariknya, ramai yang tidak menyangka beliau akan membuat kejutan kreatif sedemikian kerana Tarmizi merupakan seorang ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolahnya. Pada asalnya, beliau hanya sekadar ingin menarik minat muridnya untuk kembali ke sekolah dengan kejutan tersebut. Tambahan pula, pendekatan tersebut tidak pernah dilakukan di sekolah tersebut sebelum ini.
Bukan itu sahaja, guru-guru di sekolah terbabit juga teruja melihat kehadiran Spiderman di sekolah itu walaupun pada mulanya tidak mengetahui siapakah gerangan di sebalik kostum adiwira tersebut.
Cikgu Tarmizi mengenakan kostum tersebut di sekolah pada hari ini sambil melakukan beberapa program sekolah seperti memberi penerangan tentang program susu sekolah dan cara meminum susu kotak dengan betul.

Pelajar di sekolah terbabit juga dikhabarkan sangat teruja dan sentiasa mengikuti pergerakan Spiderman tersebut. Malah, ada juga yang memintanya untuk memakai kostum tersebut lagi pada hari-hari yang seterusnya.
Cubaan kali pertama membuahkan hasil, inisiatif untuk menjadikan suasana sekolah lebih meriah dan ceria
Sebagai seorang guru, inisiatif yang diambil oleh Tarmizi ini tentunya mempunyai tujuan yang bermanfaat untuk para pelajarnya. Jelas guru muda ini juga, ini merupakan cubaan kali pertamanya untuk melakukan kejutan seumpama itu dan ternyata ia berhasil menarik perhatian pelajar di sekolah terbabit. Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Tarmizi merancang untuk melakukan kejutan yang berlainan pula selepas ini untuk program-program sekolah bagi menarik minat para pelajar serta menjadikan suasana pembelajaran di sekolah lebih ceria dan seronok.
Menurut guru yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan ini juga, suasana sekolah yang menarik dan ceria berupaya untuk membentuk kemenjadian murid agar mereka menjadi generasi yang berjaya pada masa hadapan.

Walaupun berada di sekolah pedalaman Sarawak iaitu di Pulau Bruit, Daro, beliau menzahirkan rasa syukur dan gembira mengajar di sekolah tersebut kerana masyarakat nya yang peramah dan baik. Tarmizi juga sempat berikar untuk melakukan yang terbaik demi anak didiknya agar mereka berasa seronok untuk belajar dan berjaya di masa akan datang.
Tahniah Ustaz Tarmizi! Semoga usaha dan inisiatif ini dapat menjadi tauladan dan inspirasi kepada warga pendidik yang lain.