Claudia Tan Raih Perhatian Dunia dengan Lagu Baru, Kolaborasi Bersama Anderson Paak
Artis Kelahiran Sarawak, Claudia Tan Bakal Berkolaborasi Dengan Anderson Paak. Penyanyi kelahiran Kuching, Claudia Tan, sekali lagi mencuri tumpuan industri muzik dengan pelancaran single terbarunya yang bertajuk Draw Me.
Lagu ini merupakan gabungan menarik antara pop Malaysia dan pengaruh R&B serta soul dari Papua New Guinea. Untuk menghasilkan karya unik ini, Claudia bekerjasama dengan penerbit muzik terkenal dari Amerika, Anderson Paak, dan penyanyi berpangkalan di Australia, Kaiit, yang berasal dari Papua New Guinea.

Claudia Tan bakal lancar single terbarunya yang bertajuk Draw Me
Claudia Tan mula meraih populariti pada tahun 2020 apabila lagunya Bodies tular di Spotify, mengumpul lebih daripada 3.8 juta strim. Lagu susulannya, Your Gentleman, turut mendapat sambutan hangat selepas ia diiktiraf oleh Jungkook daripada BTS ketika sesi siaran langsungnya. Lagu Toast yang dilancarkan selepas itu juga mendapat reaksi serupa, dengan meraih 2 juta tontonan di TikTok.
Kejayaan ini membuka peluang bagi Claudia untuk bekerjasama dengan Anderson Paak. Pada bulan Julai yang lalu, Claudia terpilih bersama sembilan artis lain dari pelbagai negara seperti Jepun, Itali, dan Greece, untuk menyertai program muzik Distilled Sounds anjuran jenama wiski Ireland, Jameson. Program ini bertujuan menghubungkan artis-artis dari seluruh dunia untuk mencipta dan mempersembahkan muzik baharu sambil memberikan pendedahan dan bimbingan kepada mereka.
“Program Distilled Sounds oleh Jameson memperkenalkan saya kepada ramai artis berbakat dari seluruh dunia. Saya banyak belajar tentang budaya mereka dan bunyi global yang mempengaruhi penghasilan lagu baharu saya bersama Kaiit,” kata Claudia ketika menceritakan pengalamannya.
Distilled Sounds merupakan program muzik pertama anjuran Jameson. Untuk menandakan pelancarannya, syarikat tersebut bekerjasama dengan Anderson Paak, yang dikenali melalui kerjasama dengan ramai artis ternama untuk membangunkan bakat muzik baharu.

