Hari-hari travel overseas, gitu
Demi Ke Sekolah, Budak Ini Sanggup Rentas Sempadan Malaysia-Indonesia Setiap Hari. Baru-baru ini, sekeping gambar tular di media sosial memaparkan seorang budak mengguna baju sekolah Indonesia berjalan melimpasi sekatan jalan polis Malaysia. Kapsyen gambar terbabit menyatakan bahawa budak tersebut tinggal di Tebedu, Sarawak dan bersekolah di Entikong, Indonesia. Malah, dia membawa pasport setiap kali dia turun ke sekolah.

Untuk pengetahuan anda, gambar terbabit ditangkap pada tahun 2018 ketika budak itu berusia 8 tahun. Walaupun gambar ini sudah lama dan Nursaka kini berusia 10 tahun, kehidupan budak ini masih sama seperti dahulu – nak turun sekolah, perlu rentas sempadan Malaysia-Indonesia.
Keluarga warga Indonesia tetapi tinggal di Malaysia
Menurut sebuah artikel mengenai kisah ini, budak tersebut iaitu Nursaka, merupakan seorang warga Indonesia yang tinggal di Tebedu, Sarawak bersama keluarganya.
Bapa Nursaka, Darsono berusia 53 ketika penulisan, memutuskan untuk pindah ke Tebedu untuk tinggal di rumah adiknya yang mempunyai suami tempatan.
Adik Darsono memiliki perniagaan restoran yang diuruskan oleh adik lelaki lain. Rumah di mana sekeluarga itu tinggal adalah rumah barisan dalam bentuk huruf ‘L’ dengan empat pintu. Rumah tersebut adalah milikan kakaknya dan disewakan. Ia terletak betul-betul di belakang bangunan restoran. Setiap pintu mempunyai ukuran yang berbeza.
Untuk keluarga Nursaka, rumah mereka mempunyai 4 bilik – dua bilik berfungsi sebagai bilik, sebuah bilik diguna sebagai ruang tamu manakala satu bilik lagi digunakan untuk dapur dan bilik mandi. Mereka juga tidak dikenakan sewa, hanya perlu membayar bil elektrik dan air sahaja.
Sumber pendapatan Darsono terletak di belakang rumah tersebut, iaitu sebuah kebun dengan keluasan sekitar setengah hektar. Tanah tersebut adalah milik adiknya, tetapi dipinjamkan kepada Darsono secara percuma untuk diusahakan. Di situ, Darsono menanam pelbagai tanaman sayuran seperti cili, terung, kacang tanah, dan sayur-sayuran lain.
Di samping itu, Darsono juga mengusahakan ternakan seperti ayam, itik dan arnab. Dari hasil penjualan produk kebunnya, Darsono mampu meyokong keluarga dan anak-anaknya pergi ke sekolah.

Nursaka mula menghadiri Entikong ketika memasuki Taman Kanak-kanak (TK) Kartika. Pada waktu itu, ibu bapa Nursaka bergilir-gilir dan menemani anak-anak mereka ke sekolah dan balik di seberang sempadan.
Darsono berkata mereka berputus untuk hantar anak mereka melanjutkan pelajaran di Entikong, Indonesia demi mendapatkan akses pendidikan yang mudah seperti warga Indonesia yang lain.
Hal ini kerana jika mereka hendak hantar Nursaka ke mana-mana sekolah di Tebedu, mereka terpaksa memenuhi banyak syarat khas. Oleh itu, mereka memilih Entikong sebagai tempat Nursaka bersekolah walaupun mereka harus berulang-alik setiap hari.
Rutin harian Nursaka setiap hari persekolahan
Setiap hari persekolahan, Nursaka akan dibangunkan oleh bapanya pada 5:30am waktu Malaysia.
Setelah habis mandi, dia akan dibantu oleh ayahnya untuk memasang seragam sekolah berwarna merah putih, iaitu seragam sekolah Indonesia.

Julini, ibu Nursaka, akan sentiasa mengingati Nursaka untuk check buku-buku dalam beg sekolah agar tiada tertinggal di rumah.
Setelah semua barang sekolah sudah lengkap, Nursaka dan ayahnya akan bergerak ke sebuah kantin yang terletak di tepi Jalan Tebedu, 200m dari rumah.
Tumpang rakan keluarga untuk pergi ke Pos Lintas Batasan Negara (PLBN) Entikong
Setelah tiba di kantin, Nursaka yang ditemani oleh ayahnya akan mencari seseorang yang boleh bantu membawa Nursaka ke Pos Lintas Batasan Negara (PLBN) Entikong, Indonesia.
Menurut artikel Kompas, seorang lelaki dipercayai rakan keluarga Nursaka bernama Babe, menawarkan perkhidmatannya. Babe pada ketika itu mengguna sebuah kereta jenama Proton keluaran lama.
Pada masa ini, ia sudah pukul 7:00am. Nursaka dan Babe berangkat ke PLBN yang berjarak kurang dari 10 minit atau sekitar 3km dari kantin tersebut.
Di sini, Nursaka akan berjalan merentasi sempadan Malaysia-Indonesia dan memasuki bangunan imigresen untuk memeriksa dokumennya. Dia akan menunjukkan sebuah buku berwarna merah untuk dicop oleh Pegawai Imigresen.
Setiap hari lalu sini, pegawai-pegawai imigresen sudah kenal dengan Nursaka dan melayan dia dengan mesra!

Buku tersebut merupakan Pas Lintas Batas (PLB) yang dimiliki oleh ibunya, yang juga mempunyai gambar Nursaka dan dua adiknya sebagai tanggungan pemilik dokumen terbabit.

Setelah selesai dengan proses imigresen, Nursaka kemudian menuju ke luar bangunan.

Setibanya di pintu masuk, seorang wanita berusia pertengahan umur yang memakai topi keledar menyambut Nursaka. Dikatakan bahawa wanita terbabit ialah seorang pemandu teksi motorsikal yang sentiasa mengambil Nursaka dari PLBN Entikong ke sekolah. Wanita ini juga yang menghantar Nursaka kembali ke PLBN Entikong setelah tamat sekolah.

Rutin harian di sekolah
Ketika penulisan Kompas, Nursaka merupakan murid Kelas 3 SD Negeri 03 Sontas, sekitar 4 kilometer dari PLBN Entikong.

Dilaporkan Nursaka tidak pernah tidak hadir ke kelas. Walaupun dia terpaksa merentas sempadan setiap hari ke sekolah, ia tidak menyebabkan dia tidak bersekolah. Malah, semangat Nursaka dipuji oleh guru kelasnya.
“Dia pendiam, tetapi dia seorang yang patuh,” kata Yakobus Suharno, guru kelas Nursaka.
Nursaka juga dipuji atas kerajinannya menghabiskan kerja rumah. Cikgu Yakobus berkata, pernah sekali dahulu Nursaka tidak siapkan kerja rumah dan didenda melakukan push-up. Atas sebab Nursaka berbadan besar, dia rasa letih setelah selesaikan denda terbabit dan tidak berani lagi untuk tidak habiskan kerja rumah diberi cikgunya.
Selain dipuji rajin dan patuh kepada arahan, Nursaka juga dipuji atas tingkah lakunya yang baik ketika di sekolah dan mempunyai prestasi yang bagus.

Tiada penghalang mengelakkan Nursaka turun ke sekolah kecuali jika hujan lebat atau dia demam. Namun, Nursaka akan paksakan diri untuk pergi ke sekolah walaupun dalam keadaan sakit (tapi last-last tertidur pula dalam kelas!)
Nursaka juga dikenali sebagai pelajar yang satu-satunya tinggal di Tebedu di kalangan rakan sekelasnya.
Kehidupan seharian keluarga Nursaka
Setibanya Nursaka ke rumah setelah habis sekolah, Nursaka akan tidur sebentar. Jika ada kerja rumah, Nursaka akan siapkannya dahulu sebelum tidur tengah hari, atau pada waktu malam setelah adik-beradiknya tidur. Kadangkala, dia akan siapkan kerja rumah sementara menunggu kereta untuk ditumpang ke PLBN Entikong.
Setiap petang pukul 5:00, Darsono akan membawa Nursaka dan adiknya, Yoga, untuk mengambil nasi sisa di sebuah kedai makan yang berada sekitar 2km dari rumah mereka. Nasi tersebut digunakan untuk memberi makanan kepada haiwan ternakan mereka.
Disamping itu, Darsoko akan membawa anak-anaknya kelilingi pasar Tebedu mengguna bas mini milikan adiknya untuk mengutip tin bekas minuman. Dikatakan dua adik-beradik itu semangat mengumpulkan tin-tin bekas minuman.

Hasil penjualan tin akan disimpan oleh Nursaka dalam sebuah tabung plastik berbentuk ayam warna biru yang dia miliki sejak kecil.

Darsono membawa anak-anaknya mengumpul tin bekas minuman sebagai usaha untuk mengelak anak-anaknya bosan di rumah.
“Saya memotivasikan mereka untuk memenuhi keinginan mereka dengan menabung. Contohnya, jika mereka nak membeli sesuatu, seperti basikal, saya menanamkan semangat menabung. Malah, mereka sangat gembira dapat mengumpulkan tin bekas minuman,” kata Darsono.
Selain menabung, Nursaka juga seorang yang berjimat. Jika dia diberi wang dari orang seperti pegawai imigresen atau polis, dia akan simpan wang tersebut.
“Wang itu boleh menolong saya bayar yuran pelajaran saya,” kata Nursaka.
Selain mengutip tin, Nursaka dan adiknya akan membantu Darsono di kebun belakang rumah mereka. Kebiasaannya, mereka akan memberi makan ternakan, memasukkan ayam ke dalam kandang pada waktu petang, atau mengumpul telur itik.
Aktiviti ini dilakukan setiap hari kecuali kalau hari hujan.
Walaupun mereka pendatang asing secara sah, mereka masih sentiasa dalam keadaan cemas jika ada serbuan
Hidup di Malaysia bukan tanpa halangan. Pada akhir setiap tahun, keluarga Nursaka sentiasa cemas sekiranya ada serbuan.
Kadang kala rumah mereka dikelilingi dan kanak-kana takut. Namun, mereka selalu lulus kerana dokumen imigresen mereka lengkap dan ada keluarga penjamin untuk mereka tinggal di sana.
“Rumah diserbu, dikelilingi seperti tapal kuda, anak-anak ketakutan. Selalunya, setiap tahun sentiasa ada serbuan sebegini,” kata Darsono.
Harapan seorang bapa kepada anak sulungnya
Rutin harian Nursaka yang setiap hari berulang-alik ke sekolah merentasi sempadan bukanlah kemahuan Darsono.
Beliau berharap suatu hari ketika wang sudah cukup dan dapat memiliki tanah di Entikong, beliau dapat kembali ke Indonesia dan membawa keluarganya sekali.
“Saya tidak mahu risau lagi. Setiap hari dia pergi ke sekolah, menumpang (menaiki kenderaan orang ke PLBN Entikong). Semasa pergi, kami akan minta bantuan kenalan, tetapi ketika dia pulang dari sekolah, pegawai imigresen atau polis akan membantu dia balik ke rumah. Jika dia belum pulang pada pukul 2:00pm (Nursaka biasanya tiba ke rumah pada pukul 1:30pm), saya akan rasa bimbang dan keluar mencarinya sehingga saya jumpa dia,” kata Darsono.
Selain itu, jika modal kerja mencukupi, Darsono ingin segera kembali ke Indonesia dan membuka perniagaan runcti atau penyedia bahan binaan yang dapat diuruskan bersama isterinya.
“Yang penting saya ada perniagaan, supaya isteri saya ada aktiviti, saya juga dapat mencari pekerja untuk bekerja di kebun,” ujar Darsono lagi.
Darsono kemudian berkata beliau ingin Nursaka menjadi seseorang penting suatu hari nanti, biarpun pegawai negeri, agar dia tidak seperti ayahnya “yang merupakan petani berkebun di tempat orang.”
Darsoko berharap anak sulungnya itu akan manfaatkan pendidikannya dan mempunyai harapan tinggi untuk Nursaka.
“Kehidupan kami di sini agak sukar. Kami bertani menumpang kebun orang. Malah, kami tiada apa-apa di Entikong. Jadi saya akan sedaya-upaya menyokong Nursaka melanjutkan pelajaran di tempat kita sendiri, di Indonesia,” kata Darsoko dalam artikel Kompas.
Nursaka turut yakin mengikut kehendak keluarganya, dengan berkata,
“Kerana saya warga Indonesia!”
Semoga urusan Nursaka dan keluarga dipermudahkan dan Nursaka kekal semangat belajar, walaupun dunia kini bukan sama seperti zaman dahulu.
Teruskan pelajaran anda, Nursaka. Kamu bisa melakukannya!
