Tertuduh dipercayai melakukan kegiatan terkutuk itu tanpa dikesan selama 14 tahun.
Dicekup Pihak Berkuasa Australia, Lelaki Asal Lundu Ini Rupanya Pedofilia Paling Dikehendaki Di Dunia. Siapa sangka di sebalik pekan kecil Lundu, terdapat satu kisah yang amat mengejutkan di mana seorang penduduk tempatan dipercayai telah melakukan jenayah terkutuk dan puluhan kanak-kanak tidak berdosa menjadi mangsa kepada serangan seksualnya.
Dipetik daripada Free Malaysia Today, setelah 2 tahun bertungkus-lumus menjejaki seorang pedofilia warga Malaysia, akhirnya tertuduh diberkas dan disabitkan di mahkamah Kuching kerana telah melakukan serangan seksual ke atas sekurang-kurangnya 34 kanak-kanak dalam lingkungan usia dua tahun sehingga 16 tahun.

Mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan
Tertuduh, Alladin Lanim berusia 40 tahun telah mengaku bersalah terhadap 18 pertuduhan jenayah seks dan dihukum 48 tahun penjara serta 15 sebatan pada 17 Ogos lalu. Penangkapan tersebut dilihat sebagai kejayaan yang penting dalam memerangi serangan seksual terhadap mangsa bawah umur.
Berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan oleh laporan Sydney Morning Herald, pegawai penyiasat khas dari Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Queensland serta Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (Austrac) memainkan peranan penting dalam usaha memberkas Lanim yang melakukan kegiatannya tanpa dikesan selama 14 tahun.
Detektif Daniel Burnicle yang merupakan pemangku pegawai kanan AFP di Kuala Lumpur, memberitahu akhbar berkenaan bahawa Alladin juga mencabul kehormatan kanak-kanak di ladang dan di sebuah rumah panjang di Lundu, Sarawak.
Beliau berkata bahawa, tertuduh didakwa memaksa kanak-kanak berkenaan menonton video berbentuk pornografi selepas membenarkan mereka bermain permainan video (game) di telefon bimbitnya.

Alladin berbangga melakukan perbuatan terkutuknya
Dalam laporan berkenaan, Alladin dikatakan berbangga setelah melakukan perbuatan terkutuknya dalam forum pemesejan dan memuatnaik aktivitinya itu di ‘dark web’, sekaligus mengundang tindakan polis Australia dalam siasatan selama dua tahun.
Nama Alladin juga telah disenaraikan dalam laporan dalaman polis pelbagai negara pada 2019 dan merupakan antara 10 pesalah utama yang amat dikehendaki di dunia kerana eksploitasi terhadap kanak-kanak di internet.
Bagaimanapun, Burnicle berkata, Alladin sebenarnya sudah berkongsi bahan penderaan dan pencabulan kanak-kanak di laman web sejak 2007 lagi dan selanjutnya dikaitkan dengan penyebaran lebih 1,000 imej dan video memaparkan pencabulan terhadap kanak-kanak.
“Dia seorang penjenayah yang sangat aktif mencari mangsa, justeru menjadikan penangkapannya sebagai keutamaan tertinggi (polis),” kata Burnicle.

Pakar unit pencarian identiti Austrac akhirnya berjaya menjejak identiti sebenar Alladin
Pada permulaan, polis tidak mempunyai banyak maklumat mengenai tertuduh kerana profil dalam talian tertuduh adalah Anonymous. Namun sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua, pada Ogos tahun lalu, pakar unit pencarian identiti Austrac akhirnya berjaya menjejaki identiti sebenar Alladin Lanim.
Burnicle berkata, menjejak identiti pesalah membabitkan proses metodologi yang amat rumit dan membabitkan pelbagai imej serta lokasi seterusnya membawa kepada kejayaan menjejak pedofilia ini.
“Kesemuanya begitu sulit lebih-lebih lagi apabila menjejak individu di ‘dark web’,” katanya.

Pihak berkuasa Australia jejak Alladin di pusat kuarantin Covid-19 di Sarawak
Pada Julai lalu, Burnicle berkata, pihak berkuasa Australia menjejak Alladin di pusat kuarantin Covid-19, di Sarawak di mana tertuduh menjalani pengasingan mandatori setelah tiba dari Semenanjung Malaysia.
Dia akhirnya ditangkap Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 5 Julai lalu, selepas proses kuarantin itu tamat, kata laporan berkenaan.
Burnicle berkata, penyiasat Australia, yang mengemukakan bahan bukti kepada pihak pendakwaan di Kuching, mengenal pasti sekurang-kurangnya 34 mangsa serangan seksual Alladin, namun percaya jumlah mangsanya mungkin lebih tinggi.